Dr Wan Azizah beramah mesra bersama pengunjung dan peniaga ketika majlis sumbangan Limau Mandarin menjelang Tahun Baharu Cina di Pasar Pagi Pandan Perdana, Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Meor Riduwan Meor Ahmad


TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mahu tradisi dan nilai kekeluargaan yang wujud dalam masyarakat kini seperti menghormati ibu bapa dan golongan tua terus dipertahankan.

Menerusi perutusan sempena sambutan Tahun Baru Cina beliau berkata, pada masa sama nilai dan tradisi itu perlu ditanam dalam sanubari anak muda di negara ini bagi membentuk masyarakat penyayang.

“Memandangkan Malaysia menuju ke arah menjadi ‘negara tua’, kita haruslah menghargai tradisi dan nilai kekeluargaan yang wujud sekarang ini.

“Nilai ini juga penting bagi membentuk masyarakat Malaysia yang penyayang. Hormati, sanjungi dan jagalah mereka yang lebih tua.

“Belajar daripada kebijaksanaan mereka dan jangan mengabaikan mereka.

“Jasa dan kasih sayang yang dicurahkan tidak mampu dibalas. Ingatlah, satu hari nanti, kita juga akan memerlukan orang lain untuk menjaga kita,” katanya.

Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata, warga tua bukanlah satu beban tetapi hadiah tidak ternilai yang mesti dihargai.

“Sampul merah Ang Pow, pakaian Cheong Sam yang cantik, tarian singa, kelazatan Yee Sang dan limau mandarin sering dikaitkan dengan sambutan Tahun Baru Cina.

“Namun yang paling penting mengenai sambutan Tahun Baru Cina, ia melambangkan rasa hormat menghormati ibu bapa, mereka yang lebih tua dan peluang untuk keluarga meluangkan masa bersama.

“Ini dapat dilihat dengan jelas melalui tradisi makan malam (reunion dinner) yang mana ahli keluarga makan bersama untuk meraikan perayaan yang menjelang esoknya,” katanya.

Beliau berkata, mereka yang bukan berbangsa Cina juga dapat merasai kemeriahan perayaan itu apabila berkunjung ke rumah rakan berbangsa Cina.

“Pada perayaan Tahun Baru Cina ini, marilah kita mengukuhkan talian kekeluargaan dan menghargai orang yang tersayang. Selamat menyambut Tahun Baru Cina," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 2:27 PM