BERNAMA

SATU laporan polis dibuat supaya siasatan terhadap Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam kerana memfitnah serta menghina Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta ibu bapa negarawan itu.

Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Kedah, Asmirul Anuar Aris berkata, Lokman Noor dalam satu hantaran video di laman Facebooknya menggunakan beberapa perkataan menghina serta fitnah terhadap Dr Mahathir.

“Dia juga menabur sentimen perkauman kerana menyatakan Dr Mahathir mengikut telunjuk DAP.

“Sebagai Ketua Pemuda PH Kedah, saya membuat laporan polis ini supaya siasatan segera dilakukan,” katanya ditemui selepas beliau membuat laporan di Balai Polis Kuah, Langkawi hari ini.

Mengulas lanjut, Asmirul Anuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan Keusahawanan Kedah berkata, berbeza pandangan perkara biasa dalam politik namun tidak perlu mengeluarkan perkataan menghina dan memfitnah.

“Kita boleh berbeza pandangan, tidak ada masalah tetapi jangan sampai menghina Dr Mahathir dan ibu bapa negarawan itu.

“Video itu juga menabur fitnah supaya rakyat membenci Perdana Menteri, rakyat seharusnya tahu Dr Mahathir berkorban pada usia 93 tahun masih berkhidmat untuk rakyat Malaysia disebabkan skandal kerajaan Barisan Nasional dulu,” katanya.

Berdasarkan laporan polis itu, Asmirul Anuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kubang Rotan mahu polis mengambil tindakan terhadap Lokman Noor kerana mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman, fitnah dan penghinaan kepada Dr Mahathir yang menjalankan tugas serta tanggungjawab diamanahkan oleh rakyat Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 2:47 PM