Mercun yang dirampas di rumah flat semalam. FOTO Ihsan Polis
Iskandar Shah Mohamed


TINDAKAN mencurigakan lelaki mengangkat kotak ke sebuah rumah di Flat Taman Sri Nelayan, Telok Gong, Pelabuhan Klang membawa kepada penemuan mercun untuk jualan sempena Tahun Baru Cina semalam.

Difahamkan, rumah itu dijadikan stor simpanan mercun sebelum dijual kepada peniaga di sekitar Klang.

Ia bagaimanapun berjaya dihidu sepasukan pegawai dan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) yang menyerbu premis itu dalam Ops Gelora jam 4 petang.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Khairuddin Jamal berkata, pemerhatian pihaknya mendapati seorang lelaki sedang mengangkat barang masuk ke dalam rumah itu.

“Menyedari kehadiran anggota kita, lelaki itu berjaya meloloskan diri.

“Hasil pemeriksaan di rumah tidak berpenghuni itu menemui pelbagai kotak berisi mercun dianggarkan berjumlah RM3,000 dan disita bagi tindakan lanjut,” katanya hari ini.

Menurutnya, siasatan masih dijalankan pihaknya bagi mengenal pasti suspek yang terbabit dalam kegiatan itu.

“Kes disiasat mengikut Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.

Khairuddin berkata, mercun itu dipercayai hendak dijual kepada peniaga setempat untuk musim perayaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 2:59 PM