Iskandar (dua kiri) diiringi Azman (kiri) memeriksa harga barang kawalan bagi musim perayaan di Shah Alam. FOTO Faiz Anuar


SEBANYAK 108 kes kesalahan berkaitan isu kepenggunaan direkodkan sempena Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) Tahun Baru Cina oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sehingga semalam.

Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, kes itu membabitkan kesalahan peniaga tidak meletakkan tanda harga merah jambu dan tiada tanda harga ditetapkan.

“Sepanjang tempoh enam hari SKHMP dilaksanakan, kita mengesan 108 peniaga melakukan kesalahan berkaitan.

“Ia antaranya 63 kes gagal menggunakan tanda harga khas merah jambu dan 39 kes tidak meletakkan harga. Namun, tiada kesalahan menjual melebihi harga siling barangan dikesan setakat ini.

“Nilai barangan yang dirampas pula RM12,977 manakala kompaun yang dikeluarkan RM12,700.

“Semua kesalahan itu diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada operasi pemeriksaan di sebuah pasar raya di Seksyen 27, Shah Alam hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Selangor, Azman Adam.

Iskandar berkata, jumlah kes itu berada pada tahap minimum dan terkawal berbanding 231 kes direkodkan sepanjang tempoh SKHMP tahun lalu.

“Sebanyak 13 jenis barangan makanan segar dikenakan kawalan harga selama 10 hari iaitu enam hari sebelum perayaan, pada hari perayaan dan sehari selepas hari perayaan bermula 30 Januari hingga 8 Februari,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut menerima empat aduan berkaitan isu pengguna membabitkan tanda harga dan menjual daripada harga sepatutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 3:31 PM