Peguam, Mohd Zubir (kanan) berbincang dengan ahli keluarga daripada lima beradik (plaintif) di luar Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


MAHKAMAH Tinggi Kuala Terengganu hari ini mengarahkan wanita memulangkan semula hasil jualan dua lot tanah pusaka RM95,000 milik lima beradik yang dijual tanpa pengetahuan.

Mahkamah turut membatalkan pendaftaran hak milik empat lot lagi tanah pusaka arwah bapa lima beradik itu atas nama Hanisah Mohd, 49, selaku defendan dan mengarahkan semuanya dipulangkan semula kepada mereka.

Selain itu, Hanisah turut diarahkan membayar lain-lain kos berjumlah RM15,000 iaitu termasuk ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan kos guaman semua plaintif.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz membuat keputusan itu selepas mendapati Hanisah melakukan penipuan dalam urus niaga menjual dua lot tanah pusaka milik lima beradik itu tanpa pengetahuan.

Defendan sebelum ini didapati menjual enam lot tanah pusaka milik lima beradik itu tanpa pengetahuan dengan cara menipu tandatangan tiga daripada mereka ketika proses jual beli tanah di Kemasik, Kemaman.

Defendan didapati melakukan penipuan itu dengan cara menipu tandatangan tiga daripada mereka ketika proses jual beli tanah di Kemasik.

Jabatan Kimia turut mengesahkan semua tandatangan yang dibuat di setiap dokumen jualan tanah itu palsu.

Sebelum ini, Muhazian Mohd, 42, juga mewakili Mohd Kamal Mohd yang sudah meninggal dunia, Mohd Zainuddin Mohd, 35, Mohd Hairul Nizam Mohd, 30, dan Nor Azahar Mohd, 52, selaku plaintif, memfailkan pernyataan tuntutan menerusi Tetuan Mohd Zubir Embong @ Associates dan Saiffuddin Othman.

Pernyataan difailkan pada 17 Januari 2017 di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu yang mengandungi sembilan tuntutan itu mendapat persetujuan daripada Zainal Azman yang menghakimi tuntutan itu.

Dalam tuntutan itu, plaintif turut menamakan Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian, selaku defendan kedua.

Mahkamah bersetuju dengan semua tuntutan yang dibuat antaranya membabitkan bayaran kerugian jualan tanah pusaka dan kos guaman semua plaintif.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 4:17 PM