Siti Endon membelai kucing jagaannya di rumahnya di Kampung Tengah, Teluk Cempedak. FOTO Farizul Hafiz Awang
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


“INI bukan rezeki mak cik seorang, tetapi untuk kucing di rumah, dapat juga mak cik beli makanan dan ubat-ubatan (untuk kucing),” kata Siti Endon Ismail, 56.

Kisah Siti Endon yang mencari rezeki memakai maskot Hello Kitty di Teluk Cempedak, Kuantan, dengan menghiburkan pengunjung di situ, meraih perhatian dan simpati ramai selepas disiarkan Harian Metro, Sabtu lalu.

Siti Endon mengakui, selepas kisahnya disiarkan, ramai datang berjumpa dengannya di pantai peranginan itu untuk bergambar sehingga membuatkannya tidak menang tangan, tidak kurang juga ada yang menghulurkan sumbangan.

“Sejujurnya mak cik terharu. Mereka (pengunjung) memaklumkan mengetahui kisah mak cik menerusi surat khabar, ada yang sanggup datang luar dari daerah ini untuk bertemu mak cik.

“Mak cik bukanlah mahu menagih simpati sesiapa, mak cik selesa membuat kerja (memakai maskot) ini kerana ini sahaja yang mampu mak cik lakukan untuk menampung kehidupan,” katanya ketika ditemui wartawan Harian Metro.

Ibu tunggal ini berkata, dia memperuntukkan sekurang-kurangnya RM600 sebulan untuk membeli makanan bagi 50 kucing miliknya dan ia tidak termasuk kos ubat-ubatan serta rawatan haiwan itu .

Katanya, dia mahu kucing miliknya itu mendapat makanan yang terbaik, namun harganya agak mahal membuatkannya kadangkala terpaksa ikat perut.

“Jika ada duit lebih mak cik akan memberi kucing ini makan ayam rebus, namun jika sebaliknya mak cik akan beli rangka ayam yang berharga RM4 sekilogram untuk diberikan kepada mereka.

“Mak cik anggap kucing ini seperti anak mak cik sendiri kerana merekalah yang menjadi teman mak cik selama ini,” katanya.


Siti Endon memberi makan kucing jagaannya. FOTO Farizul Hafiz Awang

Siti Endon membelai kucing jagaannya. FOTO Farizul Hafiz Awang

Berita berkaitan

'Maskot rezeki saya dan kucing'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 4:39 PM