TINGKAP geriji di bahagian dapur rumah Pengerusi Green Project Malaysia, Mohd Asri Abdul Khalek, 45, diumpil penjenayah yang memecah masuk rumahnya di Taman Permata, Ampang, di sini, malam tadi. FOTO Insan Mangsa.
Nurul Hidayah Bahaudin

BELUM sempat disalurkan kepada pelarian perang, wang sumbangan tabung kemanusiaan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berjumlah kira-kira RM10,000 lesap dilarikan penjenayah dalam kejadian pecah rumah di Taman Permata, Ampang, Selangor semalam.

Kejadian disedari mangsa yang juga Pengerusi Green Project Malaysia, Mohd Asri Abdul Khalek, 45, selepas memeriksa keadaan rumahnya sebaik pulang ke kediamannya itu kira-kira jam 10 malam.

Mohd Asri berkata, dia bersama ahli keluarga pulang ke kampung halaman di Karak, Pahang, pagi semalam, dan tiba di rumahnya kira-kira jam 10 malam tadi sebelum mendapati bahagian dapur rumahnya dalam keadaan berselerak.

"Saya dapati jeriji besi pada tingkap di bahagian dapur rumah saya diumpil. Beberapa bilik tidur juga didapati dalam keadaan berselerak.

"Saya dapati dua tabung sumbangan kemanusiaan untuk disalurkan kepada pelarian di Syria yang diletakkan dalam bilik tidur utama hilang.

“Dianggarkan setiap tabung itu mengandungi RM5,000 wang tunai yang sepatutnya disalurkan kepada mereka selepas cuti Tahun Baru Cina ini," katanya.

Menurutnya, wang tunai miliknya dan barang kemas dianggarkan bernilai kira-kira RM10,000 turut lesap dilarikan penjenayah yang memecah masuk rumahnya.

"Secara keseluruhannya, kerugian dianggarkan RM20,000 selepas dua tabung sumbangan serta wang tunai dan barang kemas milik saya dilarikan penjenayah terbabit.

"Sebelum ini, saya pernah berdepan insiden hampir sama apabila kereta yang diparkir di halaman rumah dipecah penjenayah yang melarikan pembesar suara dan pemain cakera padat (CD)," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Hamzah Alias ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

"Siasatan lanjut berhubung kes itu sedang giat dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 8:51 PM