KUALA LIPIS 11 JANUARI 2019. Petugas khas Pakatan Harapan membuat persiapan khas memasang bendera untuk proses berkempen untuk Pilihan Raya Kecil Parlimen P.078 Cameron Highlands di Felda Sungai Koyan 2. NSTP/FARIZUL HAFIZ AWANG
Hairulazim Mahmud

“PAKATAN Harapan (PH) kini sudah lemah berikutan perselisihan sesama mereka kerana sudah tiada musuh bersama iaitu Barisan Nasional (BN),” kata firma penyelidikan, Fitch Solutions Macro Research (Fitch Solution).

Bukan itu sahaja, populariti pakatan yang didokongi empat parti iaitu DAP, BERSATU, PKR dan AMANAH itu diramalkan menurun dalam tempoh beberapa bulan akan datang berikutan dasar-dasar yang diamalkan dan perbalahan dalam gabungan itu sendiri.

Kata firma itu, keempat-empat parti komponen PH sebelum ini bersatu dengan satu matlamat iaitu menggulingkan BN.

Bagaimanapun, katanya, hubungan itu semakin lemah berikutan tiada lagi seteru bersama untuk mengalihkan perhatian perselisihan sesama mereka.

“Pandangan Fitch Solution bahawa PH mengalami risiko penurunan dalam popularitinya kerana tiga sebab iaitu pengundi semakin berpendapat bahawa kerajaan tidak membantu mengurangkan kos sara hidup.

“Kedua, gabungan pakatan itu berulang kali menunjukkan perpecahan dalam kalangan mereka dan ketiga adalah kekecewaan para pengundi dengan idea bahawa kerajaan PH akan membawa Malaysia Baharu dengan kesaksamaan kaum yang lebih tinggi,” kata firma itu dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, dalam nota penyelidikannya, Fitch Solutions berkata, parti-parti komponen khususnya DAP berasakan perlunya memangku jawatan yang lebih tinggi untuk mempertahankan sokongan minoriti.

Katanya lagi, perkara berkenaan hanya akan menjurus kepada perpecahan dalam kerajaan sebelum jangka hayatnya pada tahun 2023.

Firma itu menegaskan, masalah menjadi lebih buruk apabila sebahagiannya disebabkan oleh kegagalan untuk melaksanakan janji yang dibuat dalam manifesto pilihan raya.

“Dengan politik perkauman dan agama semakin rancak, rakyat Malaysia juga kehilangan keyakinan terhadap janji-janji untuk membawa negara ke arah Malaysia Baharu dengan kesamaan yang lebih besar,” katanya.

Dalam pada itu Fitch Solution mengekalkan Skor Risiko Politik Jangka Pendek Malaysia kepada 72.5 peratus dengan proses membuat dasar dan polisi berterusan sebagai subkomponen paling lemah, masing-masing sebanyak 68.3 dan 67.5.

Katanya, ketika PH mengambil alih kerajaan pada Mei lalu, rakyat Malaysia tidak kisah untuk menerima apa juga alasan kerajaan apabila tidak mampu merealisasikan janji-janjinya termasuk menghapuskan tol di seluruh negara.

“Namun, apabila banyak janji-janji dimungkiri, kesabaran rakyat semakin menipis. Keadaan semakin parah apabila PH menerima pakai dasar pentadbiran BN yang sebelum ini dijadikan bahan serangan mereka, tetapi kini bertindak mempertahankannya dengan justifikasi yang lemah,” katanya.

Justeru, katanya, senario itu membolehkan BN menunjukkan kefahaman yang jelas dalam tindakan mereka dan menyumbang kepada kebangkitan semula populariti Datuk Seri Najib Razak.

Sedangkan, bekas Perdana Menteri itu adalah faktor utama penolakan terhadap BN dalam Pilihan Raya Umum lalu sebaliknya kini sudah menikmati kebangkitan semula dengan menggunakan keputusan, ucapan, dan tindakan pemimpin dan menteri PH.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 9:25 PM