PEMANDU lelaki putus tangan selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 66, Jalan Beluran-Telupid, petang tadi.
Hazsyah Abdul Rahman

PEMANDU sebuah pacuan empat roda putus tangan kanan sejurus kenderaan dinaiki terbabit kemalangan di Kilometer 66, Jalan Beluran-Telupid, Sabah, petang tadi.

Dalam kejadian jam 4.20 petang itu, mangsa lelaki berusia 33 tahun yang parah segera dihantar ke Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan V Shivananthan berkata, pacuan empat roda model Toyota Vigo dipandu mangsa dari arah Sandakan dipercayai memasuki lorong bertentangan sebelum dirempuh sebuah lori datang dari arah Telupid.

"Pemandu lori lelaki berusia 27 tahun tidak mengalami kecederaan.

"Bagaimanapun, pemandu pacuan empat roda itu dilaporkan putus tangan," katanya.

Katanya, siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 10:50 PM