KEADAAN bekas perunding takaful, Abdul Halim Haron, 43, yang menghidap kanser tulang, otot dan tisu atau Maxillary Ostio Sarcoma tahap empat. FOTO/IHSAN KELUARGA
Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my


Johor Bahru: “Saya tidak mengenali mereka dan tiada sebarang hubungan, namun ramai netizen prihatin apabila mereka bukan sahaja menyalurkan sumbangan wang, malah mendoakan kesihatan saya hingga membuatkan saya begitu terharu,” kata Abdul Halim Haron, 43.

Abdul Halim berkata, selepas kisahnya yang menghidap kanser tulang, otot dan tisu atau Maxillary Ostio Sarcoma tahap empat disiarkan Metro Ahad dan Harian Metro Online, ramai netizen bersimpati dengan nasib dialaminya.

Menurutnya, kadangkala dia berasakan seperti artis kerana sibuk menjawab panggilan telefon kenalan yang simpati dengan keadaannya ketika ini.

“Sejak pagi saya menerima panggilan termasuk daripada kenalan dan beberapa agensi kerajaan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru.

“Malah, rumah saya di Bandar Baru Uda, di sini, kerap dikunjungi kenalan dan sahabat bertujuan memberi sokongan moral,” katanya.

Abdul Halim berkata, dia berterima kasih kepada netizen berbilang bangsa yang sanggup mendoakan kesihatannya, selain memberi semangat untuk terus hidup.

Katanya, keseluruhan ketika ini netizen sudah menyalurkan sumbangan RM10,000 menerusi akaun isterinya.

“Saya kini kekurangan dana RM8,000 dan berharap dapat dikumpul dalam tempoh terdekat. Apa pun saya berasa beban saya sudah ringan dan berpeluang untuk mencari ikhtiar untuk menyembuhkan penyakit ini.

“Hanya Allah mampu membalas jasa netizen penyayang dan prihatin yang berada di seluruh negara,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut Abdul Halim, dia tidak putus berdoa semoga Allah memberi kekuatan untuk terus bertahan hingga menemui ubat sesuai bagi rawatan kemoterapi.

Ini kerana, katanya, nasibnya agak malang berbanding pesakit kanser lain memandangkan ubat digunakan ketika rawatan kemoterapi sebanyak 10 kali di sebuah hospital awam di Johor Bahru gagal mematikan sel kansernya, sebaliknya semakin aktif.

“Bagaimanapun, doktor memberitahu ubat kemoterapi ini tidak sesuai digunakannya kerana mengaktifkan sel kanser.

“Ketumbuhan dialami semakin membesar hingga menutup bebola mata selain mengakibatkan mata tersembul keluar dan penglihatan terjejas.

“Doktor memberi pilihan untuk menghantar sampel ketumbuhan ke Amerika Syarikat (AS) untuk diuji supaya dapat menentukan ubat kemoterapi paling sesuai, namun kosnya menelan belanja RM18,000,” katanya.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Maybank milik Abdul Halim di 151258453616 atau isterinya, Norizan Abdul Nasirdi 551258508375.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Februari 2019 @ 9:40 AM