KEADAAN kawasan perumahan yang dilanda banjir di Townsville, Queensland.
Hairulazim Mahmud dan Hashini Kavishtri Kannan


PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia yang menetap di Townsville, Queensland, Australia turut terjejas akibat banjir yang melanda bandar raya itu namun mereka berada dalam keadaan selamat setakat ini.

Seorang rakyat Malaysia, Dr Syahira Johan yang bekerja di sebuah hospital di bandar raya itu berkata, setakat ini semua rakyat Malaysia yang dikenalinya di situ berada dalam keadaan selamat.

“Ada di antara mereka yang terkurung di rumah kerana banjir menenggelamkan jalan raya dan menyebabkan mereka terputus hubungan. Ada keluarga yang terputus bekalan elektrik, tetapi mereka kini dalam keadaan selamat dan tinggal bersama kami.

“Ada juga sekumpulan rakyat Malaysia yang terpaksa meninggalkan rumah masing-masing, untuk ke kawasan lebih tinggi, tetapi setakat dalam pengetahuan kami, semua rakyat Malaysia di sini, selamat,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Ribuan penduduk di timur laut Australia terpaksa meninggalkan rumah masing-masing susulan banjir yang disifatkan sekali dalam seabad menukar jalan raya menjadi sungai, dengan pihak berkuasa memberi amaran hujan lebat akan turun beberapa hari lagi.

Ribuan penduduk di bandar raya Townsville di timur laut Queensland mengalami gangguan bekalan elektrik dan sehingga 20,000 rumah berisiko ditenggelami air jika hujan berterusan.

Dr Syahira berkata, rakyat Malaysia yang tinggal di sana kebanyakannya adalah pelajar perubatan di James Cook University dan ada juga yang bekerja di sana.

SUKARELAWAN SES menyelamatkan mangsa banjir yang terkandas.

Katanya, penduduk Townsville mengalami banjir yang tidak pernah berlaku seteruk ini sebelum ini dengan hujan lebat sejak minggu lalu.

“Terdapat banyak amaran banjir kilat, paras air empangan naik lebih 200 peratus dan mereka (pihak berkuasa) terpaksa membuka pintu empangan menyebabkan lebih aliran air ke kawasan pinggir bandar,” katanya.

Beliau berkata, rakyat Malaysia yang terbabit juga sudah menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra untuk memaklumkan bahawa mereka dalam keadaan selamat ketika ini.

“Mereka amat prihatin dan bertanyakan keadaan kami serta apa yang boleh dibantu, bagaimanapun kami faham memandangkan semua jalan menghubungkan kawasan di sini ditutup. Kami berharap jalan dapat dibuka dan banjir surut secepat mungkin.

“Kami juga menubuhkan kumpulan WhatsApp rakyat Malaysia di sini supaya dapat mengemaskini keadaan terkini masing-masing.

“Dalam kumpulan itu juga ada ahli keluarga mereka supaya dapat mengetahui keadaan terkini terutama ketika keadaan di mana bekalan elektrik terpaksa diputuskan. Jadi WhatsApp ketika ini menjadi medium berpusat untuk mengemaskini situasi semasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Februari 2019 @ 9:51 AM