LIMA lelaki berusia 21 hingga 25 tahun ditahan polis ketika berlumba di Jalan Simpanh Kuala/Alor Mengkudu dalam Ops Samseng Jalanan. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


TINDAKAN lima lelaki yang berlumba kereta di Jalan Simpang Kuala-Alor Mengkudu, Alor Setar, mengundang padah apabila mereka ditahan polis dalam Ops Samseng Jalanan, hari ini.

Dalam kejadian 2.50 pagi itu, anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar yang menjalankan operasi di kawasan terbabit melihat dua kereta Proton Satria dan sebuah Proton Saga BLM dinaiki suspek berusia 21 hingga 25 tahun sedang berlumba.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, tindakan mereka juga mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya dari lampu isyarat Simpang Kuala ke lampu isyarat Alor Mengkudu.

Menurutnya, siasatan mendapati empat lelaki menaiki kereta Proton Satria dan seorang lelaki memandu kereta Proton Saga BLM sebelum polis bertindak menahan mereka ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat Alor Mengkudu.

“Mereka bersama kereta itu kemudian dibawa ke IPD Kota Setar untuk tindakan selanjutnya mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, dua remaja lelaki ditahan polis selepas menunggang motosikal secara berbahaya dan melakukan aksi ‘wheelie’ di Dataran Masjid Zahir menghala ke Jalan Pegawai, 3.30 pagi.

Mohd Rozi berkata, remaja berusia 16 tahun itu ditahan selepas mereka berhenti di hadapan kedai sebelum motosikal dan suspek dibawa ke IPD untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Februari 2019 @ 10:37 AM