WARGA sekolah SK Othman Shawal ceria meraikan Teacher Ng Chai Lin sempena Tahun Baharu Cina. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar

SAMBUTAN Tahun Baharu Cina tahun ini amat bermakna bagi seorang guru berbangsa Cina apabila 684 warga Sekolah Kebangsaan (SK) Othman Shawal, Kuala Sungai Baru, Alor Gajah mengambil kesempatan menyambut perayaan itu di sekolah terbabit.

Guru berkenaan, Ng Chai Lin, 45, bukan sahaja terkejut apabila warga sekolah termasuk rakan setugas dan guru besar berhimpun menceriakannya pada program berkenaan, malah berasa terharu.

Mesra dengan panggilan Teacher Ng dalam kalangan warga sekolah itu, beliau juga teruja kerana semua murid kesayangannya mahu berkunjung ke rumah bagi meraikan perayaan itu.

“Sebenarnya, saban tahun saya akan mengalukan kehadiran warga SK Othman Shawal ke rumah kerana mahu hubungan kekeluargaan antara kami lebih indah.

“Sokongan semua pihak termasuk ibu bapa juga memberi kekuatan kepada saya untuk terus menjadi pendidik berdedikasi,” katanya yang mengajar subjek Bahasa Inggeris di sekolah terbabit.

Beliau turut berterima kasih kepada pihak sekolah kerana menganjurkan majlis khas sempena perayaan itu dan berbangga atas usaha merealisasikan misi berkenaan bersama murid.


OTHMAN (kiri) bersama Normah (dua kanan) yang menyampaikan cenderahati kepada Teacher Ng (dua kiri) pada majlis khas sempena sambutan Tahun Baru Cina. FOTO Nazri Abu Bakar

Turut hadir, Guru Besar SK Othman Shawal, Normah Awal, Guru Penolong Kanan Pentadbiran (GPK), Rohaya Hashim dan kaunselor sekolah, Noor Azizah Ismail.

Sementara itu, Normah berkata, penganjuran majlis itu sebagai tanda penghargaan kepada jasa dan pengorbanan guru berkenaan yang mendidik tanpa mengira status, bangsa dan agama.

“Ini sebagai proses menanam bibit perpaduan serta mengamalkan konsep saling menyayangi dan hormat- menghormati,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Februari 2019 @ 11:25 AM