MUHAMMAD Ridzuan Lau Abdullah bersama isteri, Roszianah Asmi Teo bersama anak- anaknya yang memakai pakaian tradisi masyarakat Cina ketika membuat persiapan menyambut Tahun Baharu Cina. FOTO Hazreen Mohamad
MUHAMMAD Ridzuan Lau Abdullah bersama isteri, Roszianah Asmi Teo bersama anak- anaknya yang memakai pakaian tradisi masyarakat Cina ketika membuat persiapan menyambut Tahun Baharu Cina. FOTO Hazreen Mohamad
Abnor Hamizam Abd Manap


BIARPUN sudah 18 tahun menganut Islam, Muhammad Ridzuan Lau Abdullah tetap meneruskan tradisi meraikan sambutan Tahun Baharu Cina bersama keluarga setiap tahun.

Muhammad Ridzuan, 39, mengakui sentiasa teruja dan seronok untuk meraikan sambutan itu bersama keluarga yang bukan beragama Islam.

Peniaga restoran makanan Cina Muslim yang menetap di Taman Bukit Mas itu berkata, seperti tahun sebelumnya dia akan pulang ke rumah ibu di Teluk Kemang, Port Dickson meraikan Tahun Baharu Cina bersama keluarga.

“Sejak memeluk Islam pada 2001, saya tidak pernah ketinggalan menyambut Tahun Baharu Cina bersama keluarga, malah turut membuat persiapan termasuk membeli pakaian baru.

"Jika orang Islam lain hanya membuat persiapan menyambut Aidilfitri, saya pula membuat persiapan untuk dua perayaan termasuk Tahun Baharu Cina," kata bapa kepada lima anak.

Katanya, tradisi dan budaya yang diamalkan kaum Cina tetap diteruskan selagi tidak melanggar hukum syarak.

Muhammad Ridzuan berkata, perayaan ini lebih bermakna kerana dia bebas meraikannya bersama keluarga dan menikmati hidangan enak yang disediakan mengikut cara Muslim.

“Anak-anak yang paling seronok kerana dapat meraikan dua perayaan iaitu Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri. Untuk Tahun Baharu Cina, kemeriahan sudah tentu menerima angpau daripada nenek.

"Ahli keluarga saya sangat menghormati saya sebagai Muslim, malah ketika bulan Ramadan, mereka tidak makan di hadapan kami sekeluarga ketika pulang ke kampung," katanya.

Mengimbau kembali kenangan memeluk Islam, Muhammad Ridzuan berkata, dia memeluk Islam tanpa pengetahuan keluarga dan mengucap dua kalimah syahadah pada majlis diadakan di masjid di Port Dickson.

Katanya, dia kemudian mempelajari lebih mendalam mengenai agama Islam di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) di Kelantan.

"Saya hanya memaklumkan kepada ibu mengenai pertukaran agama ketika pulang bercuti pada 2002. Ibu dan mendiang ayah ketika itu terkejut, namun mereka tidak membantah tindakan saya.

"Saya beritahu pada ibu, walaupun sudah bertukar agama, tanggungjawab sebagai anak tidak akan terputus malah akan sentiasa pulang ke kampung.

"Ibu ambil masa kira-kira setahun untuk menerima keputusan yang saya buat itu," kata anak bongsu daripada enam beradik itu.

Muhammad Ridzuan berkata, perkahwinan dengan isteri, Roszianah Asmi Teo yang dikenali ketika belajar di PERKIM pada 2004 diadakan mengikut tradisi masyarakat Cina, menyejukkan hati ibunya yang bimbang jika dia melupai tradisi berkenaan.

Kehadiran lima cahaya mata masing-masing Nur Aiman Rakinah, 14; Muhammad Iman Syawal, 11; Nur Aiman Sakinah, 9; Nur Aiman Rasinah, 6, dan Muhammad Iman Saifullah berusia 18 bulan membuktikan kebahagiaan pasangan ini.

Muhammad Ridzuan berkata, isterinya berasal dari Labuan, Sabah adalah anak mualaf dan turut memberinya tunjuk ajar mengenai Islam ketika belajar di PERKIM.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Februari 2019 @ 12:04 PM