RAWNY sudah stabil dan menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent Sandakan. Foto Ihsan Pembaca
Hazsyah Abdul Rahman


PEMANDU pacuan empat roda yang putus tangan kanan selepas terbabit kemalangan di Kilometer 66, Jalan Beluran-Telupid, Sandakan, semalam, menafikan kenderaan yang dipandunya memasuki lorong bertentangan.

Sebaliknya, Rawny Alivat Taha, 33, berkata, kenderaan mereka berada di lorong betul tetapi dirempuh sebuah lori yang datang dari arah hadapan.

Menurutnya, sebelum kemalangan, dia bersama lima ahli keluarga lain, termasuk isteri dalam perjalanan pulang ke Penampang selepas bercuti di rumah keluarga di Beluran.

“Ketika kejadian, kenderaan yang saya pandu di belakang dua kenderaan lain menuju ke Kota Kinabalu sebelum lori itu muncul di lorong yang kami lalui.

“Akhirnya berlaku kemalangan dan menyebabkan kenderaan kami terhumban ke kiri jalan.

“Selepas (kenderaan) dilanggar, saya tidak tahu bagaimana tangan saya boleh jadi begitu (putus). Kejadian berlaku sangat pantas,” katanya ketika ditemui di Hospital Duchess of Kent Sandakan, hari ini.

Rawny berkata, dalam keadaan parah, dia sempat keluar dari kenderaan yang sudah remuk teruk ketika itu.

“Saya tidak pengsan malah mampu keluar sendiri dan duduk di tepi jalan, kemudian ada pengguna jalan raya lain yang membantu kami.

“Pemandu lori itu melarikan diri tidak tahu ke mana. Kalau dia tidak salah kenapa tidak berhenti dan bantu kami,” katanya.

Sementara itu, isterinya, Fanny Jukin, 36, berkata, sebelum kenderaan mereka dirempuh, dia lihat dengan jelas lori itu kerana dia duduk di kerusi penumpang belakang suaminya.

“Dari jauh, saya lihat lori itu penuh dengan muatan tapi ditutup dengan sesuatu. Saya tidak pasti muatan apa, cuma melebihi ‘atap’ lori terbabit.

“Lori itu seperti mengelak sesuatu dan masuk ke lorong kami. Akibatnya lori itu menggesel bahagian kanan kenderaan kami.

“Nasib baik kami semua memakai tali pinggang keselamatan dan tidak terhumban keluar dari kenderaan,” katanya.

Katanya, sejurus kejadian itu, mereka semua keluar sendiri dari kenderaan.

“Sebaik keluar, saya tidak melihat lori itu lagi. Tidak tahu ke mana dia (pemandu lori) melarikan diri.

“Sampai hati dia terus lari begitu saja selepas melanggar kenderaan kami sehingga tangan suami saya putus, malah kami pula dipersalahkan,” katanya.

Dalam pada itu, Fanny berkata, dia berharap orang ramai berhenti menyebar gambar kemalangan yang menyebabkan tangan suaminya itu terputus.

“Kami menafikan dakwaan (punca kemalangan) itu sekeras-kerasnya dan turut berharap orang ramai tidak menyebarkan lagi gambar kecederaan suami,” katanya.

Semalam, Kira-kira 4.20 petang, pacuan empat roda Toyota Vigo dinaiki Rawny bersama keluarga bertembung dengan lori dipandu lelaki berusia 27 tahun. Dalam kejadian itu, pemandu lori tidak cedera.

Berita berkaitan

Aduh! putus sebelah tangan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Februari 2019 @ 5:00 PM