KOTA BHARU 05 FEBRUARI 2019. Kaum wanita menggayakan pakaian tradisional kurung kedah dan berkain batik lepas sempena majlis sambut menantu di Kampung Limbat. STR/NOR AMALINA ALIAS
Nor Amalina Alias
cnews@nstp.com.my

SEORANG juruteknik meraikan majlis sambut menantu dengan cara unik apabila kesemua ahli keluarganya memakai pakaian tradisional di Kampung Limbat, Kota Bharu, Kelantan.

Ahli keluarga Mohamad Shahrul Ezwan Mohamad, 23, memakai pakaian t-shirt putih lengkap bersemutar dan kain pelikat manakala wanita berpakaian baju kurung kedah serta berkain batik sarung.

Shahrul berkata, konsep unik itu dibuat bagi meraikan rombongan isterinya, Nurus Sakinah Tajaludin, 28, yang berasal dari Kuala Lumpur.

Katanya, tiada kos dikeluarkan memandangkan kesemuanya ditanggung sendiri adik beradik dan saudaranya bagi menghargai perkahwinannya yang juga anak bongsu dari lima beradik.

“Kejutan saya buat kepada isteri dan keluarga ‘menjadi’ kerana mereka nampaknya cukup teruja sehingga ahli keluarga juga tidak menang tangan apabila tetamu nak bergambar,” katanya ketika ditemui tadi.

Shahrul berkata, dia memilih konsep tradisional untuk ditonjolkan kepada keluarga rombongan daripada bandar selain mengamit kenangan majlis perkahwinan seperti zaman dahulu kala.

Katanya, dia mula berkenalan dengan isterinya, Sakinah melalui aplikasi WhatsApp selain satu tempat kerja di Masterplan Consulting Sdn Bhd sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin enam bulan kemudian.

“Keluarga saya memang meminati unsur-unsur tradisional, jadi saya abadikan kenangan ini bagi membangkitkan nostalgia,” katanya.

Selain pakaian, kenduri majlisnya turut dijalankan secara bergotong-royong dengan penduduk kampung bagi menyediakan hidangan gulai daging dan ayam pedas selain turut diiringi lagu-lagu tradisional sepanjang majlis.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Februari 2019 @ 5:38 PM