AMIN Senin. FOTO arkib NSTP
Siti A’isyah Sukaimi


KEMENTERIAN Pendidikan menjelaskan sebuah sekolah di Negeri Sembilan tidak pernah memaksa seorang muridnya mengikuti Pendidikan Islam seperti dilaporkan sebuah portal berita dan beberapa media lain.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin berkata, sebaliknya semakan Kementerian Pendidikan mendapati murid terbabit mengikuti subjek Pendidikan Moral sejak dia memulakan persekolahan pada 2017.

“Pada tahun semasa 2019 ini, murid itu yang kini berada di tahun tiga, juga sedang mengikuti subjek Pendidikan Moral.

“Pihak sekolah sudah membolehkan murid terbabit mengikuti subjek Pendidikan Moral berdasarkan maklumat diberikan oleh bapanya tanpa mengemukakan sijil kelahiran murid itu,” katanya menerusi kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Pada masa sama, Amin berkata, berdasarkan maklumat awal diberikan oleh bapanya, pihak sekolah menganggap murid itu seorang yang beragama Hindu dan atas kategori berkenaan, dia dibolehkan mengikuti kelas Pendidikan Moral.

“Untuk rekod, murid terbabit sudah diberi kelulusan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan pada 2017 untuk didaftar sebagai murid tanpa dokumen.

“Bagaimanapun sehingga kini, ibu bapanya tidak menyerahkan salinan sijil kelahiran kepada pihak sekolah sebagaimana disyaratkan dalam kelulusan Jabatan Pendidikan Negeri pada tahun 2017,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, semakan terperinci susulan laporan media menunjukkan murid itu sudah didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebagai seorang yang beragama Islam di mana ibunya seorang beragama Islam.

“Kementerian Pendidikan ingin memaklumkan di bawah Akta Pendidikan 1996 setiap murid beragama Islam perlu mengikuti Pendidikan Islam.

“Pendidikan Islam adalah subjek teras di bawah Kurikulum Kebangsaan bagi kanak-kanak beragama Islam.

“Mana-mana murid yang beragama Islam berhak mendapat Pendidikan Islam sama ada di sekolah kerajaan, bantuan kerajaan mahu pun di mana-mana sekolah swasta di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, pihak sekolah pula mematuhi perkara ini berdasarkan bukti murid terbabit adalah seorang murid beragama Islam.

Katanya, oleh itu tidak timbul isu murid terbabit dipaksa mengikuti Pendidikan Islam.

“Kementerian Pendidikan memahami situasi yang dihadapi oleh ibu bapa murid terbabit.

“Bagaimanapun memandangkan kes status agama ibu murid itu masih dalam proses rayuan di mahkamah, Kementerian Pendidikan menyerahkan kepada mahkamah untuk memutuskan perkara berkenaan.

“Tindakan sewajarnya akan diambil selari dengan keputusan mahkamah kelak,” katanya.

Katanya, Kementerian Pendidikan yang berpegang kepada prinsip pendidikan untuk semua sentiasa mengutamakan kepentingan dan kebajikan murid dalam menerima pendidikan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Februari 2019 @ 5:43 PM