GAMBAR yang tular di media sosial. FOTO media sosial
Hanneeyzah Bariah Baharin


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjelaskan laporan mengenai ayam didakwa tidak disembelih dibeli seorang pelanggan dari sebuah pasar raya di Kuala Berang, Kuala Terengganu, yang tular hari ini adalah kes lama.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan kes itu dan membuat pemeriksaan di pasar raya berkenaan pada tahun lalu sejurus dimaklumkan mengenai laporan berkenaan.

Bagaimanapun, tiada sebarang tindakan diambil kerana hasil pemeriksaan mendapati pasar raya berkenaan mematuhi segala peraturan dan mereka mendapat bekalan ayam daripada pembekal yang mendapat persijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Laporan yang tular hari ini adalah kes lama yang ditularkan semula oleh pengguna laman sosial. Pengguna berkenaan membuat laporan di Balai Polis Manir pada 4 Februari tahun lalu mendakwa ayam dibeli di pasar raya berkenaan tidak disembelih dengan sempurna.

“Pasukan penguatkuasaan kita bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) kemudian melakukan pemeriksaan bersama di pasar raya berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati mereka mematuhi semua peraturan yang ditetapkan dalam penjualan ayam halal dan mendapatkan bekalan daripada pembekal beragama Islam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Saharuddin berkata, walaupun laporan yang tular itu adalah kes lama, pihaknya sudah mengarahkan pasukan penguat kuasa melakukan pemeriksaan ke pasar raya berkenaan.

“Cuma ingin saya tegaskan, KPDNHEP memang melakukan pemantauan dan pemeriksaan yang kerap di pasar raya bagi mengelak masalah dan kes sebegini berlaku,” katanya.

Dalam pada itu Saharuddin turut mengingatkan pengguna supaya membuat laporan seumpamanya kepada saluran yang betul, bagi memudahkan tindakan diambil.

“Untuk kes kepenggunaan seperti ini mereka seharusnya laporkan terus kepada KPDNHEP supaya tindakan segera dapat diambil, bukan membuat laporan polis. Bukan maksud saya tidak boleh buat laporan polis, cuma jika disalurkan terus kepada KPDNHEP supaya tindakan segera dapat diambil,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai supaya berhenti menularkan laporan berkenaan bagi mengelak suasana panik dalam kalangan orang ramai terutama pada musim perayaan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Februari 2019 @ 5:47 PM