TEMPAT ibadat di dalam rumah teres satu tingkat di Jalan Cemara 3/3B Bandar Sri Damansara, Sungai Buloh menjadi punca kebakaran.
Nurul Hidayah Bahaudin

SEBUAH rumah teres satu tingkat di Jalan Cemara 3/3B Bandar Sri Damansara, Sungai Buloh, Selangor, terbakar, kira-kira jam 4 pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh Muhammad Hazrin Zulkifli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.35 pagi.

"Seramai 10 pegawai dan anggota bersama dua jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, kami mendapati tempat ibadat yang berada di ruang tamu rumah berkenaan terbakar. Kami mengambil masa beberapa minit untuk memadamkan kebakaran itu," katanya.

Muhammad Hazrin berkata, kejadian itu dipercayai berpunca daripada colok serta minyak yang berada di tempat ibadat itu.

"Tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kebakaran itu berikutan enam penghuni rumah berkenaan berjaya menyelamatkan diri.

"Kebakaran itu hanya membabitkan tempat ibadat dan sebahagian ruang tamu rumah berkenaan," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Februari 2019 @ 6:58 PM