SUSPEK ditahan selepas memiliki senjata tajam dan dadah. FOTO FB Polis Johor Bahru Utara
Izlaily Nurul Ain Hussein


POLIS menahan dua lelaki tempatan selepas disyaki memiliki senjata tajam dan dadah di kawasan Jalan Temenggong 10, Taman Ungku Tun Aminah dekat Skudai, Johor Bahru, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, dua lelaki berusia 30 dan 36 tahun itu ditahan selepas polis menemui mereka dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, dua suspek itu juga gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri ketika diperiksa polis.

“Ketika anggota Op Cegah Jenayah (OCJ) membuat rondaan di kawasan berkenaan, mereka menahan Proton Saga dinaiki dua lelaki yang dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota OCJ membuat pemeriksaan namun kedua-duanya gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.

“Pemeriksaan dalam kereta suspek menemui sebilah pisau pemotong daging dan satu paket kecil plastik lut sinar berisi hablur kristal disyaki syabu seberat kira-kira 0.21 gram di celah tempat duduk pemandu,” katanya.

Beliau berkata, kereta digunakan suspek turut dirampas.

Menurutnya, semakan ke atas nombor kad pengenalan yang diberikan secara lisan oleh suspek mendapati seorang mempunyai tiga rekod lampau jenayah curi dalam bangunan.

Katanya, kenderaan yang digunakan suspek juga tiada rekod hilang, namun hasil saringan awal air kencing suspek mendapati mereka positif methapethamine.

“Suspek dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBU untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 25(1)(n) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 selain Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Februari 2019 @ 7:03 PM