Kumpulan berkenaan dipercayai aktif melakukan kegiatan curi motosikal sebelum meleraikannya dan menjual komponen motosikal dicuri. FOTO Ihsan Polis
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

POLIS menahan tiga lelaki dipercayai aktif melakukan jenayah curi motosikal di daerah ini hasil serbuan di sekitar Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, tiga suspek berusia 20-an itu ditahan sepasukan anggota unit peronda polis (MPV) sekitar jam 8 malam semalam.

“Hasil pemeriksaan polis menemui satu motosikal dalam keadaan tidak sempurna dan komponen yang sudah dileraikan.

“Pemeriksaan nombor casis mendapati motosikal berkenaan dilaporkan hilang di Damansara,” katanya ketika dihubungi tadi.

Ku Mashariman berkata, kumpulan berkenaan dipercayai aktif melakukan kegiatan curi motosikal sebelum meleraikannya dan menjual komponen motosikal.

“Siasatan lanjut diteruskan bagi melihat pembabitan suspek terhadap jenayah jalanan lain terutama kes curi motosikal.

“Suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Februari 2019 @ 7:54 PM