Norrasyidah Arshad


PENGUMUMAN aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih, 2 Mac ini, diakui memberi kesan kepada Pakatan Harapan (PH).

Ketua ARMADA Selangor, Adif Shan Abdullah berkata, pencalonan Chee Heng sebagai calon Bebas itu akan memecahkan undi penduduk Semenyih.

Katanya, jumlah undi juga akan terkesan di semua pihak yang bertanding selepas Parti Sosialis Malaysia (PSM) juga turut mengesahkan meletakkan calon di PRK berkenaan.

“Pengumuman beliau (sahkan bertanding) harus diterima sesuai dengan prinsip dan amalan demokrasi yang subur di negara ini.

“Kita serahkan kepada kebijaksanaan rakyat Semenyih untuk memilih," katanya kepada BH, di Shah Alam, hari ini.

Adif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil berkata, bagaimanapun pihaknya yakin PH akan dapat mengekalkan kerusi berkenaan selepas berjaya merampas dari Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), tahun lalu.

“Apa pun PH akan terus komited dalam memberi khidmat dan bakti kepada rakyat dan saya yakin pengundi di DUN N24 akan memilih calon PH dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU," katanya.

Semalam, Chee Heng mengesahkan akan menjadi calon Bebas dengan menggunakan lambang telefon pada PRK Semenyih.

Katanya, keputusan untuk bertanding itu dibuat bagi menjadi kuasa pendesak kepada calon PH dan BN dalam menunaikan janji mereka.

Kerusi DUN Semenyih kosong selepas kematian wakil rakyatnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, akibat serangan jantung pada 11 Januari lalu di Hospital Kajang.

Bakhtiar mengalahkan wakil rakyat dua penggal di kawasan itu, Datuk Johan Abd Aziz daripada BN dengan 23,428 undi pada PRU-14.

Hari penamaan calon PRK Semenyih ditetapkan pada 16 Februari ini, manakala tarikh pengundian awal pada 26 Februari.

Berita berkaitan

Uncle Kentang akan bertanding di PRK Semenyih

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Semenyih
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Februari 2019 @ 3:55 PM