REMAJA berkenaan. FOTO Ihsan Polis
Muhaamad Hafis Nawawi


AKSI dua remaja lelaki mengisi cuti persekolahan dengan berlumba motosikal dan melakukan aksi ‘zig-zag’ di Jalan Padang Garam, Kuala Kedah, Alor Setar, mengundang padah apabila mereka ditahan semalam.

Mereka berusia 13 dan 15 tahun itu ditahan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar yang menjalankan Ops Samseng Jalanan di kawasan terbabit, jam 6.30 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, anggotanya yang menjalankan operasi itu mengesan Honda Dash dan SYM Bonus ditunggang remaja terbabit dan kedua-duanya sedang berlumba motosikal.

Malah, perbuatan mereka melakukan aksi ‘zig-zag’ itu turut membahayakan pengguna jalan raya lain.

“Mereka turut berlumba sebanyak empat pusingan sebelum ditahan ketika berhenti di hadapan sebuah kandang kambing.

“Motosikal bersama remaja terbabit kemudian dibawa ke IPD Kota Setar untuk tindakan selanjutnya mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, polis turut menahan remaja lelaki berusia 17 tahun di Jalan Padang Garam, Kuala Kedah, kerana pemeriksaan ke atas motosikal Honda C70 mendapati enjinnya adalah milik Honda Wave.

Rozi berkata, malah semakan ke atas nombor casis juga mendapati ia dipotong sebelum motosikal itu dirampas.

“Remaja terbabit kemudian ditahan dan dibawa ke IPD Kota Setar untuk tindakan selanjutnya mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Februari 2019 @ 4:27 PM