Mangsa dikatakan berenang mengambil bola sebelum dipukul beberapa ombak besar sebelum tenggelam ke dasar laut. FOTO Rosli Ilham

SEORANG lelaki warga Pakistan dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Petak Paka, Dungun,Terengganu tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa, Muhammad Bilal Muhammad Akram, 24, dikatakan mandi di kawasan itu bersama tiga rakannya sebelum dia dipukul ombak besar dan hilang dari pandangan.

Ketika mandi, mangsa dikatakan berenang mengambil bola sebelum dipukul beberapa ombak besar sebelum tenggelam ke dasar laut.

Rakan mangsa yang ketakutan dikatakan bertindak naik ke darat dan meminta pertolongan daripada orang kampung.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Sebelum kejadian, mangsa dikatakan baru sahaja tiba di negara ini beberapa hari lalu sebelum pergi ke Paka melawat rakannya yang tinggal di Taman Melur di sini.

“Tiga rakan mangsa kemudian datang ke Balai Polis Paka membuat laporan berhubung kehilangan mangsa,” katanya.

Beliau berkata, polis kemudiannya bersama anggota bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) bergegas ke lokasi kejadian dan memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

“Setakat jam 5 petang tadi, mangsa masih belum ditemui,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Februari 2019 @ 6:30 PM