ANTARA motosikal mangsa. FOTO Ihsan Polis
ANTARA motosikal mangsa. FOTO Ihsan Polis
Noor Hidayah Tanzizi


DUA lelaki maut, tiga lagi parah, manakala seorang cedera dalam kemalangan membabitkan lima motosikal di Kilometer 40 Jalan Lumut - Ipoh di Seri Iskandar, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.08 pagi itu, pembonceng motosikal jenis Modenas Dinamik, Aidil Hakimie Abd Latid, 19, yang beralamat di Kampung Teluk Kepayang, Bota Kiri meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di beberapa anggota badan.

Turut maut, Syed Muhammad Badrul Amin Syed Mohd Nasir, 23, yang beralamat di FELCRA Nasaruddin Belia, Bota meninggal dunia di Hospital Changkat Melintang (HCM) ketika sedang mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, polis menerima maklumat kemalangan itu pada jam 1.10 pagi.

Katanya, kemalangan membabitkan lima motosikal iaitu sebuah motosikal Modenas Dinamik, dua motosikal Yamaha 125Z dan dua Yamaha LC.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati semua motosikal berkenaan datang dari arah yang sama iaitu dari Durian Kudung menghala ke Bota.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila satu daripada motosikal terbabit bergesel dengan motosikal lain dan terjatuh di atas jalan menyebabkan motosikal yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal yang terjatuh.

“Akibat daripada itu, semua motosikal berkenaan terseret di atas jalan di pelbagai arah yang menyebabkan pembonceng motosikal Modenas Dinamik maut di tempat kejadian.

“Seorang lagi penunggang Yamaha 125Z disahkan meninggal dunia semasa mendapat rawatan di HSM,” katanya, hari ini.

Katanya, penunggang Modenas Dinamik yang juga seorang anggota tentera berusia 22 tahun yang bertugas di Kem Sungai Udang, Melaka mengalami pendarahan di kepala dan akan dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk rawatan lanjut.

“Tiga lagi lelaki yang menunggang motosikal Yamaha 125Z berusia 20 tahun patah tangan kanan, penunggang Yamaha LC berusia 25 tahun patah kaki kanan, manakala seorang lagi yang berusia 21 tahun menunggang Yamaha LC, hanya luka ringan,” katanya.

Mohamad Zainal berkata, dua mangsa yang maut dihantar ke Unit Forensik HCM untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Tiada saksi yang melihat kejadian dan punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan.

“Siasatan juga mendapati semua motosikal berkenaan tidak terbabit dalam aktiviti lumba haram dan mereka juga tidak mengenali antara satu sama lain manakala laluan berkenaan pula memang banyak dilalui motosikal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Februari 2019 @ 10:40 AM