AHLI keluarga meletakkan jenazah Muhammad Adli Mohd Firdaus, 6, (dua dari kanan) dan adik perempuannya, Nur Dalili Mohd Firdaus, 4, ke dalam van jenazah untuk dibawa dari Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi dikebumikan di Kluang. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


HIDANGAN rendang masakan ibu menjadi menu terakhir Allahyarham Mohd Firdaus Januri, 34, bersama isteri dan dua anaknya sebelum mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 55, Jalan Kluang-Kota Tinggi, malam tadi.

Adik bongsu Mohd Firdaus, Nor Aini Januri, 29, yang juga jururawat Hospital Kluang berkata, ibunya Rosina Mohd Dimyati, 58, sempat memasak juadah berkenaan ketika empat beranak itu pulang bercuti ke rumah keluarga di Kampung Bentung, Kluang.

“Kali ini, ibu masak rendang daging untuk abang dan selalunya hidangan itu dimasak pada hari raya saja.

“Kebetulan ada daging di rumah dan ibu masak untuk abang,” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Kota Tinggi, hari ini.

Menurutnya, abangnya yang juga anak lelaki tunggal adalah anak kedua dari tiga beradik dan anak kesayangan ibunya.

Katanya, dua anak saudaranya kelihatan lebih manja sejak kebelakangan ini.

“Saya rindu dengan telatah mereka dan hubungan kami lebih rapat dan mesra sejak Disember lalu.

“Mereka kerap memanjat belakang saya ketika duduk di kerusi dan paling terharu melihat lambaian terakhir mereka meninggalkan rumah keluarga,” katanya.

Berita berkaitan

Empat beranak ajal bersama

[UPDATE] 20 minit keluarkan pemandu tersepit

'Jumpa lagi esok...'

Keluarga, rakan mangsa 'berkampung' di hospital

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Februari 2019 @ 1:51 PM