Mohd Husni Mohd Noor


PEKERJA pembersihan Alam Flora yang menyelenggara sampah terkejut apabila menemui janin bayi dipercayai berusia lingkungan tujuh bulan di tempat pembuangan sampah di kuarters penjawat awam, Presint 18, Putrajaya, pagi ini.

Kira-kira 9.25 pagi, pekerja berkenaan mengalihkan sampah daripada tong sampah untuk dibuang ke dalam lori sampah sebelum menemui janin itu yang berbalut dengan kain.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan ketika dihubungi mengesahkan penemuan janin berkenaan selepas menerima panggilan kecemasan daripada orang awam.

Menurutnya, pihaknya dimaklumkan janin bayi itu ditemui pekerja pembersihan Alam Flora yang kebetulan menyelenggara sampah di tempat pembuangan sampah berkenaan.

“Janin bayi berusia lingkungan usia tujuh atau lapan bulan itu ditemui berada di dalam lori sampah,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, mayat janin itu kemudian dibawa ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat.


GAMBAR hiasan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Februari 2019 @ 2:28 PM