Mohd Zahid (gambar kecil) lemas selepas ditemui terapung di kolam tadahan air tapak pembinaan. FOTO Ihsan Pembaca
Mary Victoria Dass


MISTERI kehilangan kanak-kanak lelaki, Mohd Zahid Irfan, 10, lebih 24 jam sejak petang kelmarin terjawab apabila mayatnya ditemui terapung di kolam tadahan air tapak pembinaan di Jalan Sri Putri, Taman Sri Putri, Johor Bahru, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, ibu kepada kanak-kanak lelaki itu yang berusia 35 tahun membuat laporan polis pagi semalam selepas mendapati anaknya tidak pulang ke rumah.

Menurutnya, suri rumah berkenaan mendakwa anaknya keluar bermain pada 5 Februari lalu, kira-kira 4 petang, namun tidak pulang ke rumah.

Katanya, pada 5.30 petang semalam, polis menerima panggilan daripada seorang lelaki memaklumkan penemuan mayat kanak-kanak lelaki di tapak pembinaan di Taman Sri Putri, Kulai.

“Unit forensik yang menjalankan siasatan di tempat kejadian mengesahkan tiada unsur jenayah, termasuk tiada sebarang kesan pergelutan di sekeliling kawasan berkenaan.

“Selain itu, mayat mangsa ditemui dalam keadaan terapung di kawasan tadahan air semula jadi itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tok berkata, pihaknya difahamkan kawasan berkenaan kerap diceroboh kanak-kanak untuk bermain kerana ia adalah tanah lapang dan berlumpur.

“Kawasan berkenaan tidak berpagar dan terletak kira-kira 200 meter daripada kawasan perumahan,” katanya.

Katanya, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga.

“Hasil siasatan mangsa dipercayai lemas dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.


Ahli keluarga menunggu operasi mencari dan menyelamat di kolam tadahan tapak pembinaan di Taman Sri Putri. FOTO Ihsan Pembaca

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Februari 2019 @ 4:36 PM