Laporan mengenai warga Malaysia ditahan di Kemboja dalam laman web, Harian Metro
Ekhwan Haque Fazlul Haque


“MUMMY (ibu), kamek (saya) kena tahan. Tolong kamek semua (47 orang) kena tahan dipenjara,” itu luah Yusuf Islam Abdul Halik, 21, ketika menghubungi ibunya Zunita Sedini, 25 Disember lalu.

Yusuf antara 47 rakyat Malaysia yang kini sengsara menghitung nasib di sebuah penjara di Kemboja selepas ditahan polis sejak 11 Disember lalu kerana didakwa terbabit dalam kegiatan perjudian atas talian.

Menceritakan semula kisah hitam anak sulungnya itu, Zunita, 42, berkata, anaknya yang juga lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditawarkan pekerjaan sebagai jurujual kepada sebuah syarikat elektronik di negara berkenaan sekitar Oktober lalu.

Menurutnya, gaji yang lumayan dan dibayar dengan Dollar Amerika menyebabkan anaknya bersungguh untuk menerima tawaran dari sebuah agensi pekerjaan.

“Saya sendiri tidak dimaklumkan agensi pekerjaan mana yang menawarkan pekerjaan itu namun Yusuf meyakinkan pekerjaan itu hanya untuk tempoh tiga bulan.

“Walaupun berat hati, saya merelakan dia ke Kemboja dengan harapan semua baik-baik belaka, mendapat pekerjaan dan gaji seperti dijanjikan,” katanya kepada wartawan Harian Metro di Kuching, hari ini.

Zunita berkata, sebaik tiba di Kemboja, Yusuf sering berhubung menggunakan telefon bimbit rakannya dan memaklumkan semua berjalan lancar tanpa ada sebarang kejadian mencurigakan.

Katanya, kali terakhir saya berhubung dengannya pada 9 Disember lalu menerusi WhatsApp, namun tidak bercerita lanjut mengenai pekerjaannya.

“Selepas itu, kami tidak berkomunikasi menyebabkan saya mula bimbang dengan keadaannya kerana gagal menghubungi nombor telefon rakan yang sering digunakan.

“Namun, episod kebimbangan menjadi kenyataan selepas Yusuf menghubungi saya pada 25 Disember yang memaklumkan dia bersama semua rakan dari Malaysia ditahan polis,” katanya.

Menurutnya, Yusuf memaklumkan mereka ditahan di penjara dan hanya diberikan tempoh lima minit untuk menghubungi keluarga di Malaysia.

Katanya, Yusuf memberitahu dia dalam keadaan baik namun hanya diberi makan nasi bersama air sejuk di penjara berkenaan.

“Saya terpaksa mendapatkan bantuan pihak berkuasa untuk membawa balik anak dan semua yang ditahan dengan selamat dan secepat mungkin.

“Setakat ini, saya masih tidak tahu nasib anak dan mereka yang ditahan tapi berfikiran positif semua ditahan dibebaskan secepat mungkin,” katanya.

Berita berkaitan

Mana kerja dijanjikan?

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Februari 2019 @ 6:01 PM