PASUKAN penyelamat membawa mayat Nurul Ain yang ditemui lemas di Pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Nurul Amanina Suhaini


KANAK-KANAK perempuan, Nurul Ain Sajali, 8, yang hilang di Pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi sejak petang semalam, ditemui lemas, hari ini.

Mayatnya ditemui pada 4.32 petang di kedudukan kira-kira 100 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Penawar, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fadli Ismail berkata, berikutan penemuan mayat mangsa, Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) ditamatkan pada 5.30 petang.

“Mayat mangsa diserahkan kepada polis dan dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Kota Tinggi untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ops SAR dijalankan dengan bantuan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), pihak berkuasa tempatan (PBT) Pengerang, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bermula 8.30 pagi dibantu nelayan dan penduduk tempatan.

Mohd Fadli berkata, pencarian hari kedua dibahagikan kepada dua bahagian iaitu pencarian di pesisir pantai dan menggunakan bot di laut.

Dalam kejadian 3.30 petang semalam, Nurul Ain, 8, dikatakan bermain pasir bersama abangnya, Fazli, 14, dan sepupu mereka, Puteri Amelia Zulaika Abdullah, 9, sebelum bersama-sama mandi di kawasan berbatu berhampiran pantai itu.

Bagaimanapun, tiba-tiba Nurul Ain dikatakan tergelincir lalu hilang menyebabkan keluarga dan pengunjung cuba mencarinya selama dua jam sebelum menghubungi BBP Bandar Penawar.

Berita berkaitan

'[Update] 'Kaki Ain seperti ditarik''

'Hilang disedut laut [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Februari 2019 @ 6:39 PM