Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika sidang media selepas permohonan rayuan interlokutori di Mahkamah Rayuan Putrajaya. FOTO Abd Rahim Rahmat.
Murni Wan Omar

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengemukakan rayuan untuk mencabar keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan Peguam Negara menarik balik sijil pemindahan tujuh pertuduhan membabitkan SRC International Sdn Bhd ke Mahkamah Tinggi.

Peguam Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berhujah di Mahkamah Rayuan di Putrajaya berkata, tindakan Peguam Negara Tommy Thomas itu adalah tidak sah dan terbatal.

“Tindakan pendakwaan menarik balik sijil pemindahan mengikut Seksyen 418(A) Kanun Acara Jenayah (KAJ) itu memberi kesan kepada keseluruhan kes. Tommy sendiri menarik balik sijil itu kerana ragu, sama ada pemindahan itu sah atau tidak.

“Ia menimbulkan tanda tanya dan kami berhujah bahawa apabila sijil itu ditarik balik, tidak ada lagi sebarang prosiding wujud di Mahkamah Tinggi kerana ia dikembalikan ke Mahkamah Sesyen. Pendakwaan tidak boleh menarik balik sijil itu begitu saja tanpa menerima sebarang kesan,” katanya.

Oleh itu, Muhammad Shafee berkata, pihaknya memfailkan notis rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi itu dan turut mengemukakan permohonan supaya kes didengar segera.

Beliau berkata demikian ketika memohon di Mahkamah Rayuan untuk menangguhkan permohonan asal mereka bagi membolehkan isu lebih utama membabitkan keputusan pihak pendakwaan menarik balik sijil pemindahan kes didengar terlebih dahulu.

Muhammad Shafee juga memaklumkan bahawa pihaknya akan mengemukakan permohonan untuk menangguhkan perbicaraan yang sepatutnya berlangsung Selasa depan pada Isnin ini.

Sepatutnya, hari ini, Mahkamah Rayuan mendengar tiga permohonan rayuan interlokutori (permohonan sebelum perbicaraan penuh) iaitu berhubung surat pelantikan Datuk Sulaiman Abdullah, perintah larangan bagi menghalang media dan orang ramai membicarakan merit kes serta penzahiran dokumen yang dikemukakan oleh Najib.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Datuk Kamardin Hashim membenarkan permohonan itu didengar 11 Mac depan.

Turut bersidang bersama ialah Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Terdahulu, Tommy mempertikaikan tindakan pasukan pembelaan Najib yang seolah-olah mahu menangguhkan perbicaraan yang sudah ditetapkan minggu depan.

“Sepatutnya petang ini rayuan yang didengar tidak ada kena mengena dengan keputusan Mahkamah Tinggi hari ini. Prosiding sejak 4 Julai tahun lalu (kali pertama Najib didakwa) membabitkan kes itu masih sah sehingga hari ini.

“Ya Arif mereka mahu menangguhkan kes mereka sendiri. Kami tidak mahu rayuan ini dijadikan sebagai asas untuk menangguhkan perbicaraan kes,” katanya.

Sementara itu, peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib berkata, pihaknya tidak menggunakan tiga rayuan interlokutori itu sebagai asas untuk menangguhkan prosiding di Mahkamah Tinggi dan perbicaraan kes itu.

Muhammad Shafee ketika ditemui selepas prosiding, berkata pihaknya memohon prosiding ditangguhkan kerana Mahkamah Rayuan perlu memutuskan isu asas.

Sementara itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sebelah pagi membenarkan permohonan Tommy untuk menarik balik tiga tuduhan pemindahan wang haram terhadap Najib.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Thomas untuk menarik balik pendakwaan yang dikemukakan terhadap Najib, 66.

Kes itu akan didakwa semula di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok.

Mahkamah juga dalam keputusan membenarkan permohonan Tommy untuk menarik balik sijil pemindahan tujuh kes membabitkan SRC International Sdn Bhd dan menggunakan budi bicara bagi kes itu tetap didengar di Mahkamah Tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Februari 2019 @ 7:28 PM