Antara kenderaan tersadai dijadikan sebagai stor menyimpan barangan jualan oleh peniaga Rohingnya yang ditunda dalam operasi itu. FOTO Ihsan DBKL
Nurul Hidayah Bahaudin


SEKUMPULAN peniaga Rohingya yang berniaga tanpa lesen di Pasar Borong Selayang, Kuala Lumpur, ternyata tidak serik meskipun kerap diserbu pihak berkuasa apabila dikesan masih menjalankan aktiviti menjual sayur di situ.

Ketika serbuan, puluhan peniaga Rohingya itu melarikan diri dan meninggalkan barang jualan mereka sebaik melihat van serta lori penguat kuasa tiba di lokasi untuk melakukan pemeriksaan di kawasan terbabit.

Dalam operasi bermula kira-kira 4 petang semalam, sebanyak 15 kenderaan tersadai ditunda Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL di sekitar pasar borong berkenaan selepas didapati ia menjadi stor menyimpan barang jualan, termasuk sayur-sayuran oleh peniaga Rohingya itu.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Azman Mahmood berkata, hasil pemeriksaan di pasar borong itu, pihaknya menemui beberapa kenderaan yang diparkir di tepi jalan yang dimuatkan dengan barang jualan peniaga warga asing terbabit.

Menurutnya, kenderaan yang ditunda membabitkan van pelbagai jenis dan lori kecil yang diletakkan di kawasan tempat letak kenderaan serta kaki lima di sekitar pasar borong terbabit.

“Peniaga warga asing ini menyembunyikan barang jualan mereka di dalam kenderaan itu bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.

“Bagaimanapun, tindakan agresif yang dilakukan kami yang melakukan pemeriksaan berkala di pasar borong ini dapat menghidu aktiviti mereka dan mengambil tindakan menunda kenderaan itu untuk tindakan lanjut,” katanya kepada wartawan Harian Metro, hari ini.

Azman berkata, pihaknya melakukan pemantauan berkala di pasar borong terbabit, termasuk menempatkan beberapa anggota penguat kuasa yang berkawal di lokasi berkenaan dalam usaha memastikan tiada monopoli warga asing di kawasan berkenaan.

“Peniaga Rohingya yang rata-rata menjual sayur-sayuran itu pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dan hanya sebahagian kecil daripada mereka tahu bertutur bahasa Melayu.

“Kami sedia maklum isu peniaga etnik Rohingya ini seolah-olah tidak berkesudahan, namun pihak penguat kuasa akan terus menggempur mana-mana lokasi untuk memastikan tiada lagi yang berniaga tanpa kebenaran.

“Biarpun kami berdepan pelbagai reaksi daripada masyarakat terutama di media sosial, saya ingin tegaskan, kami hanya menjalankan tugas seperti diamanahkan.

“Dalam kes ini, masyarakat perlu bekerjasama dengan DBKL bagi mengatasi masalah ini, termasuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa,” katanya.

Katanya, semua kenderaan yang ditunda dibawa ke Depoh Taman Connaught, Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan peniaga Rohingya menjalankan perniagaan tanpa lesen di kawasan letak kereta dan kaki lima Pasar Borong Selayang dengan menggunakan kenderaan sebagai stor menyimpan barangan jualan.

Bagaimanapun, taktik itu berjaya dibongkar anggota penguat kuasa yang membuat pemeriksaan di lokasi terbabit selepas menemui beberapa kenderaan dijadikan sebagai ‘peti sejuk’ untuk menyimpan bekalan barangan jualan.


Azman (tiga dari kiri) memeriksa barangan milik peniaga Rohingya yang ditinggalkan di sekitar Pasar Borong Selayang. FOTO Ihsan DBKL

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Februari 2019 @ 9:21 PM