LAPORAN portal Harian Metro mengenai kejadian lemas di Sungai Pedu.
Aizat Sharif dan Zuliaty Zulkiffli


MANGSA yang terselamat dalam kejadian lemas di Sungai Pedu, Kuala Nerang hari ini kini dalam keadaan stabil dan sudah mula sedarkan diri.

Anis Umaira Mohd Ismail, 16, yang menetap di Jalan Sungai Petani, Simpang Empat, Alor Setar sudah boleh bercakap namun keadaannya masih lemah.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Noh Idris berkata, setakat ini polis belum mengambil keterangan daripadanya dan menunggu sehingga mangsa sihat sepenuhnya.

Beliau berkata, setakat ini mangsa masih dirawat di Hospital Kuala Nerang (HKN) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, Anis Umaira dan pasangan adik beradik, Nor Shafia Hafiza Samsudin, 16, dan Nor Shariza Hafiza Samsudin, 14, yang sedang mandi di Sungai Pedu tiba-tiba dihanyutkan air deras menyebabkan mereka tenggelam timbul.

Datuk mangsa, Mohamad Ramli Ibrahim, 65, bertindak terjun untuk menyelamatkan tiga remaja terbabit namun gagal apabila dia turut dihanyutkan air.

Berikutan itu, mayat ketiga-tiga mereka ditemui terapung sekitar jam 2.26 petang hingga 5.35 petang di kawasan pencarian sejauh 100 meter dari tempat kejadian.

Kesemua mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Nerang untuk dibedah siasat dan dijangka dikebumikan jam 11 malam ini.

Berita berkaitan

'Tinggal cincin sebelum ajal

[UPDATE] Hanyut depan mata

'Hmm panas-panas' status terakhir

'Pilunya lihat suami, dua cucu lemas'

'Tragedi berkelah, 1 lemas, 2 hilang'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Februari 2019 @ 11:22 PM