PASUKAN SAR menggunakan jet ski ungtuk mencari Muhammad Bilal yang dikhuatiri lemas ketika mandi bersama tiga rakan di Pantai Petak, Paka, Dungun, hari ini. FOTO Rosli Ilham.


KELUARGA pemuda warga Pakistan, Muhammad Bilal Muhammad Akram, 24, yang dikhuatiri lemas di Pantai Petak, Paka, Dungun, semalam sudah dimaklumkan mengenai kejadian menimpa mangsa.

Sepupu mangsa, Muhammad Mubashar, 24, berkata dia sudah memaklumkan mengenai kejadian berkenaan kepada keluarga mangsa.

“Mulanya takut untuk beritahu kejadian berkenaan, namun selepas mendapat pandangan rakan, saya kuatkan diri menghubungi ayahnya dan memaklumkan berita menyedihkan itu.

“Ayah mangsa yang tinggal di Lahore, Pakistan amat sedih dengan berita itu dan berharap supaya anaknya ditemui segera.

“Dia (ayah mangsa) beritahu dia cuba mencari masa sesuai sebelum menyampaikan berita sedih itu kepada ibu Muhammad Bilal,” katanya.

Menurutnya, dia sudah mengadakan solat hajat bersama rakan warga Pakistan lain yang berkerja di Dungun bagi memohon supaya mangsa ditemui segera.

“Tak sangka kehadiran Muhammad Bilal untuk melawat negara ini berakhir dengan tragedi amat sedih,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superintendan Mohamad Zohan Seman berkata, seramai 66 anggota polis bersama bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Operasi bermula sejak 3 petang semalam tanpa henti membabitkan kawasan pencarian sejauh lima kilometer sehingga ke sempadan Kemaman.

“Kami akan teruskan operasi ini dan seramai enam anggota penyelam bomba sudah berada di lokasi untuk menjalankan aktiviti penyelaman di dasar laut.

“Kami mendapat bantuan empat jet ski penduduk kampung untuk membantu operasi ini,” katanya.

Dalam kejadian 2.30 petang semalam, Muhammad Bilal dikhuatiri lemas selepas beberapa kali dipukul ombak ketika cuba mengambil bola yang hanyut.

Sebelum kejadian, dia bersama mangsa dan dua rakan lain senegara iaitu Muhammad Mubashar, 24, dan Rozikhan Bangay, 27, mandi di kawasan itu.

Berita berkaitan

'[UPDATE] 'Dah capai tangan tapi terlepas...''

'Abang Pakistan lesap ‘disapu' ombak'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Februari 2019 @ 11:22 PM