NIK Mohamad Abduh tiba di pejabat Suruhanjaya SPRM Kelantan untuk memberi kenyataan. FOTO Syamsi Suhaimi
Siti Nor Hidayatidayu Razali


AHLI Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz tiba di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan di Kubang Kerian, hari ini untuk memberi kenyataan bagi siasatan PAS didakwa menerima RM90 juta menerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau yang memandu sendiri tiba pada 10.20 pagi dengan memakai baju Melayu putih dan berkopiah.

Nik Abduh yang juga Ahli Parlimen Bachok masuk ke pejabat SPRM yang diiringi tiga pegawai SPRM.

Difahamkan, keterangan Nik Abduh bakal diambil seorang pegawai SPRM dan dianggap penting kerana beliau dikaitkan dengan rakaman audio yang tersebar membuat pengakuan berhubung penerimaan sejumlah wang daripada UMNO.

Media juga difahamkan, Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan, Datuk Husam Musa juga dijangka hadir untuk memberi keterangan berhubung siasatan kes yang sama, hari ini.

Sebelum ini, akhbar melaporkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 1 Februari lalu membuat keputusan memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah dengan menarik balik tuntutan terhadap pengarang The Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.

Keputusan dicapai menerusi Perintah Persetujuan di Mahkamah Tinggi London selepas Hadi meneliti semua aspek keseluruhan tindakan mahkamah yang menfailkan terhadap editor Sarawak Report itu selaku defendan dan mempertimbangkan pandangan serta nasihat peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 11:06 AM