Nur Lela Zulkipli


TIDAK sampai 24 jam, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, didakwa sekali lagi atas tiga pertuduhan baharu membabitkan pengubahan wang haram berjumlah RM47 juta, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.

Najib, 66, bagaimanapun mengekalkan pengakuannya kepada tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Berdasarkan pertuduhan pertama hingga ketiga, Najib didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah keseluruhan RM47 juta, hasil aktiviti wang haram melalui tiga akaun AmPrivate Banking miliknya di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Nombor 55, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur, pada 8 Julai 2014.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613), yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup, memaklumkan mahkamah pihaknya sudah memfailkan permohonan untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi dan memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan.

Bagaimanapun, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib memohon mahkamah tidak mengenakan wang jaminan berikutan Mahkamah Tinggi dan pihak pendakwaan sebelum ini tidak menetapkan sebarang ikat jamin.

“Anak guam saya sudah membayar wang jaminan lebih RM6 juta dan sekiranya pihak pendakwaan ingin mengenakan ikat jamin, perkara itu harus dibawa ke Mahkamah Tinggi,” katanya.

Muhammad Shafee turut memberitahu mahkamah pihaknya akan menimbulkan bantahan terhadap ketiga-tiga pertuduhan yang dikenakan terhadap Najib kerana terdapat kecacatan yang ketara.

Beliau turut memberitahu bahawa pihaknya akan membangkitkan perkara itu ketika kes disebut di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah seterusnya mahkamah membenarkan Najib dikenakan bon jaminan peribadi tanpa penjamin dan menetapkan 8 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Semalam, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Peguam Negara, Tommy Thomas untuk menarik balik tiga tuduhan berkenaan terhadap Ahli Parlimen Pekan itu.

Thomas berkata, permohonan pendakwaan untuk menarik balik ketiga-tiga pertuduhan itu adalah bagi mengelakkan sebarang penangguhan kes dan supaya mahkamah tidak perlu mendengar permohonan untuk ia dibicarakan bersama tujuh pertuduhan SRC.

“Bagaimanapun, pihak pendakwaan akan menuduh semula Najib atas pertuduhan sama di Mahkamah Sesyen di sini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 11:26 AM
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hadir bagi menghadapi tiga pendakwaan kes baharu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali