SAIFUDDIN pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri Pahang. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


KEMENTERIAN Luar menghormati undang-undang Kemboja dan menyerahkan kepada pihak berkuasa negara itu untuk menjalankan siasatan berhubung 47 rakyat Malaysia yang ditahan sejak Disember lalu.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, bagaimanapun Wisma Putra meletakkan keutamaan dalam membawa pulang semua rakyat Malaysia yang ditahan di Kemboja secepat mungkin.

“Duta kita di sana sudah melawat mereka (rakyat Malaysia ditahan) dan sudah mendengar apa yang diperkatakan... saya boleh simpulkan ada lebih daripada satu versi cerita. Kebanyakan berkaitan ‘job scam’ (penipuan pekerjaan).

“Wisma Putra sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa Kemboja di sana dan mendapatkan perkembangan mengenai status kes itu,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Negeri Pahang di Wisma Persekutuan, Kuantan, hari ini.

Semalam, media melaporkan 47 orang warganegara Malaysia ditahan di Poi Pet, Kemboja sejak 11 Disember lalu atas pertuduhan menipu, membuka dan

menjalankan aktiviti perjudian dalam talian secara haram.

Mereka berusia antara 18 hingga 20 an dimana 44 daripadanya berasal dari Sarawak.

Dalam masa sama, Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh sudah mengemukakan Nota Diplomatik kepada Kementerian Luar Negeri Kemboja memohon supaya semua tahanan dibebaskan.

Saifuddin berkata, hasil lawatan pihak kedutaan Malaysia di sana mengesahkan semua tahanan berada dalam keadaan baik.

“Kita akan maklumkan perkembangan dari semasa ke semasa. Kita sedang berusaha untuk membawa semua mereka pulang dengan selamat,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai hasil mesyuarat Majlis Tindakan Negeri Pahang kali pertama, Ahli Parlimen Indera Mahkota itu memaklumkan majlis berkenaan sedang meneliti semua projek yang bermasalah di negeri itu supaya ia dapat diselesaikan.

Katanya, pihaknya akan lebih tegas dalam memantau perjalanan projek pembangunan di Pahang selepas ini dan berusaha memastikan ia dapat disiapkan demi kebaikan rakyat.

“Kita sedang kaji kaedah (selesaikan projek bermasalah), kalau kita tak boleh tamatkan kita perlu kurangkannya. Selepas ini kita perlu lebih tegas dan cepat dalam buat keputusan.

“Projek bermasalah ada masanya pihak di negeri Pahang tidak diberikan maklumat yang tepat mengenai perlaksanaan projek itu,” katanya.

Berita berkaitan

Nota diplomatik sudah diserahkan

'Tolong kamek mummy'

Mana kerja dijanjikan?

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 1:22 PM