Mohd Khidir Zakaria


POLIS masih tidak menerima laporan berhubung kejadian samseng jalanan di Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) Negeri Sembilan, seperti tular di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp, sejak semalam.

Video berdurasi 59 saat itu menunjukkan seorang lelaki menunggang motosikal berhenti di tengah jalan dan menghampiri pemandu kereta selepas dipercayai tidak berpuas hati dengan tindakan pemandu kereta merakam video itu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, semakan dibuat setakat ini mendapati tiada laporan daripada pemandu kereta berhubung tindakan samseng jalan raya itu.

“Kejadian tidak dimaklumkan kepada polis hingga video berkenaan tular,” katanya ketika dihubungi tadi.

Menurut maklumat dikongsi dalam media sosial, penunggang motosikal terbabit membuat aksi ‘superman’ di lokasi itu sebelum sebuah kereta dari laluan kanan menukar haluan ke kiri tanpa isyarat kerana mahu mengelak bangkai haiwan.

Berikutan itu, penunggang motosikal itu mengarahkan pemandu kereta bersama keluarga berhenti dan mengeluarkan kata-kata kesat selain menunjukkan isyarat lucah.

Video berkenaan mengundang kemarahan dan kekeliruan netizen yang beranggapan kedua-dua individu terbabit bersalah serta mahu polis mengambil tindakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 2:47 PM
Penunggang motosikal terbabit membuat aksi ‘superman’ di lokasi itu sebelum sebuah kereta dari laluan kanan menukar haluan ke kiri tanpa isyarat. FOTO Ihsan Pembaca