KUALA LUMPUR 31 DISEMBER 2018. Penetapan harga minyak petrol dan diesel ditangguh sementara buat masa ini ketika tinjauan di Stesen Shell Jalan Bangsar. NSTP/AZHAR RAMLI
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@nstp.com.my


HARGA runcit bahan api bagi petrol RON97 dan RON95 masing-masing naik 4 sen kepada RM2.27 seliter dan RM1.97 seliter manakala diesel pula kekal pada harga RM2.18 seliter mulai tengah malam ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, harga runcit bahan api itu ditetapkan bagi tempoh 9 hingga 15 Februari ini.

Menurutnya, harga produk petroleum yang diproses (refined product) di pasaran dunia meningkat berbanding minggu sebelumnya iaitu daripada dolar Amerika Syarikat (AS) 60 setong kepada dolar AS 62 setong bagi petrol RON95 dan daripada dolar AS 72 setong kepada dolar AS 73 setong bagi diesel.

"Peningkatan harga pasaran global ini menyebabkan kenaikan harga runcit bagi produk petrol dan diesel.

"Namun harga runcit petrol RON95 masih lagi di bawah paras penstabilan harga yang dijanjikan oleh kerajaan iaitu RM2.20 seliter," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, bagi produk diesel, peningkatan harga pasaran ini sepatutnya menyebabkan harga runcit diesel di bawah formula APM dinaikkan sebanyak 1 sen seliter iaitu daripada RM2.18 seliter kepada RM2.19 seliter.

Bagaimanapun katanya, selaras dengan janji kerajaan persekutuan untuk menstabilkan harga runcit diesel pada paras RM2.18 seliter sekiranya harganya melebihi paras itu, harga runcit diesel dikekalkan tanpa berubah pada paras RM2.18 seliter.

Bagi tempoh 2 hingga 8 Februari lalu, harga runcit bahan api bagi petrol RON97 dan RON95 turun lima sen masing-masing RM2.23 dan RM1.93 seliter manakala, diesel pula kekal pada harga RM2.18 seliter.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 3:57 PM