IKAN yu jantan ditemui terdampar di Pantai Tanjung Aru, Menumbok. (Gambar kecil) beg plastik yang dijumpai dalam saluran usus ikan yu. FOTO Ihsan Jabatan Hidupan Liar
Norasikin Daineh


IKAN yu jantan ditemui terdampar di Pantai Tanjung Aru, Menumbok, Selasa lalu, disahkan mati akibat termakan beg plastik.

Beg plastik sepanjang 46 sentimeter (sm) dan selebar 32 sm itu dipercayai menyebabkan halangan fizikal dalam saluran usus ikan yu itu sehingga menyebabkan kelaparan dan kematian.

Pengurus Unit Penyelamat Hidupan Liar (WRU), Dr Sen Nathan berkata, sebaik menerima laporan penemuan bangkai ikan yu itu, satu rondaan di kawasan pantai segera dilakukan sekiranya terdapat bangkai haiwan sama ditemui.

“Namun pemeriksaan mendapati tidak menemui sebarang bangkai lain selain ikan yu itu.

“Bedah siasat kemudian dilakukan dan mendapati satu beg plastik besar ditemui yang menyebabkan halangan fizikal dalam saluran usus ikan yu itu.

“Oleh itu, punca kematian adalah disebabkan halangan usus yang membawa kepada kelaparan seterusnya mengakibatkan kematian,” katanya dalam satu kenyataan media, di Kota Kinabalu, hari ini.

Katanya, selepas bedah siasat selesai, pasukan Jabatan Perikanan Sabah bertindak mengambil beberapa bahagian tertentu ikan itu termasuk sirip dan bahagian kepala untuk tujuan kempen kesedaran dan pembelajaran selain sampel tisu dan tulang untuk tujuan analisis anggaran umur serta jantinanya yang disahkan jantan.

Sementara itu, Ketua Pejabat Pengurusan Sumber Marin, Lawrence Kissol berkata, bahagian lain badan ikan yu itu ditanam di kawasan berkenaan.

“Yu spesies Rhincodon typus itu tidak dibenarkan untuk dieksploitasi seperti ditangkap, dimakan, dijual atau dieksport kerana ia tersenarai di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Augustine Tuuga berkata, pencemaran plastik di perairan adalah satu ancaman yang serius untuk hidupan liar marin.

“Justeru, ia harus menjadi peringatan kepada kita dan sebagai jalan penyelesaian untuk melindungi habitat laut ini, adalah lebih baik beg plastik dilupuskan atau tidak lagi digunakan,” katanya.

Terdahulu, Augustine berkata, bangkai ikan paus itu ditemui seorang guru yang kebetulan sedang beriadah di kawasan pantai berkenaan sebelum bertindak menghubungi pihaknya untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 4:39 PM