WARGA Pakistan yang bekerja di Kemaman dan Dungun berehat seketika selepas menyertai operasi mencari Muhammad Bilal yang hilang selepas dipukul ombak di Pantai Petak, Paka, Dungun, dua hari lalu. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham
cnews@nstp.com.my


SERAMAI 20 lelaki warga Pakistan datang ke Pantai Petak, Paka, Dungun, hari ini bagi membantu pihak berkuasa mencari rakan mereka, Muhammad Bilal Muhammad Akram, 24, yang masih belum ditemui selepas hilang dipukul ombak, kelmarin.

Dalam kejadian 2.30 petang itu, mangsa yang sedang mandi dikatakan berenang mengambil bola sebelum dipukul ombak besar dan tenggelam ke dasar laut.

Sepupu mangsa, Muhammad Mubashar, 24, berkata, semua rakan mereka datang ke lokasi kejadian bagi membantu mencari mangsa kerana tidak bekerja pada hari ini.

“Mereka terdiri rakan yang bekerja di Kerteh, Kemaman, Paka dan Dungun datang beramai-ramai dengan niat membantu pihak berkuasa mencari mangsa dengan menyusuri pantai sejauh 10 kilometer.

“Saya berharap supaya mangsa segera ditemui memandangkan sudah masuk hari ketiga pencariannya.

“Selagi mangsa tidak ditemui, selagi itu kami susah hati. Malah, saya sudah dua malam tidak dapat melelapkan mata kerana teringatkan dia,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superintendan Mohamad Zohan Seman berkata, usaha mencari dan menyelamat (SAR) yang masuk hari ketiga menemui jalan buntu.

Menurutnya, pasukan SAR tidak menghadapi masalah melancarkan gerakan mencari mangsa berikutan keadaan air laut tenang.

“Sebanyak tujuh bot termasuk sebuah bot daripada Pasukan Polis Marin (PPM) digunakan untuk mencari mangsa dan seramai 38 orang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang kampung turut serta pada operasi hari ini.

“Kami turut memperluaskan operasi pencarian sejauh lima kilometer ke tengah laut serta 10 kilometer dari kiri dan kanan pantai.

“Operasi SAR melakukan gerakan pencarian melalui kaedah menyusuri pesisir pantai,” katanya.

Mohamad Zohan berkata, pihaknya turut meminta bantuan daripada nelayan dan kapal yang melalui perairan Dungun supaya dapat membantu pihak berkuasa.

“Sekiranya mereka terjumpa dengan sesuatu objek atau mayat timbul, kami minta mereka melaporkan segera penemuan itu kepada pihak berkuasa,” katanya.

Berita berkaitan

'[UPDATE] Takut nak beritahu sepupu lemas'

'[UPDATE] 'Dah capai tangan tapi terlepas...''

'Abang Pakistan lesap ‘disapu' ombak'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 7:28 PM