SALWANI menunjukkan karipap keju dijualnya di Jalan Hang Tuah, Melak. FOTO Rasul Azli Samad.
Mohd Hilmie Hussin


DUGAAN menghidap penyakit saraf selepas melahirkan anak ketiga akhirnya memberi sinar baharu dan rezeki untuk Salwani Saludin bergelar usahawan berjaya.

Salwani, 37, berkata kejayaannya mengusahakan ‘Karipap Gojes Cheese Leleh’ hadir sebaik mendapat kekuatan untuk berdikari selepas tidak mampu berdiri akibat masalah penyakit berkenaan.

“Selepas melahirkan anak ketiga, Suryani Aleashah Shamsuri, dua tahun lalu, saya mengalami sakit saraf dan dugaan Allah SWT berikan itu seolah-olah kekuatan untuk saya bangkit.

“Untuk dapat anak ketiga pun susah, 12 tahun jarak dengan anak kedua. Sebaik melahirkannya, saya alami sakit tepok atau sakit saraf sehingga kaki saya longlai serta tak mampu berdiri dan berjalan,” katanya yang ditemui di premisnya Karipap Gojes Cheese Leleh di Jalan Hang Tuah, Melaka, hari ini.

Salwani berkata, sejak menderita penyakit itu dia berjinak-jinak ‘bermain tepung’ untuk menguli tepung gandum bagi dibuat adunan karipap.

Katanya, idea menyediakan karipap keju itu datang daripada suaminya, Shamsuri Senin, 38.

“Pada awalnya saya tidak bersetuju kerana karipap keju memerlukan modal tinggi dan berapa pula harga hendak dijual.

“Tapi suami banyak mendorong, sambil menguli tepung menjadi terapi untuk saya menguatkan tangan dan tulang belakang,” katanya.

Selain memiliki premis karipap menjual sendiri, Salwani turut menjual karipap sejuk beku dan menerima tempahan daripada pihak katering.

Bermula hanya menguli sekilogram tepung gandum setiap sehari, kini dia boleh berbangga kerana menggunakan secara purata sebanyak 30 kilogram (kg) tepung gandum sehari bagi memenuhi tempahan karipap keju.

Katanya, berbekalkan kira-kira RM200 modal untuk menghasilkan karipap berasaskan 30kg tepung gandum serta bahan lain seperti ubi kentang, keledek merah, keju, kari, daun bawang, daun sup, bawang merah, cili kering dan udang kering, dia mampu meraih pendapatan RM500 sehari.

Salwani sempat menitipkan nasihat kepada suri rumah yang mahu memulakan perniagaan kecil-kecilan supaya tidak sekali-kali mengambil upah gaji dalam tempoh enam bulan pertama perniagaan dijalankan, sebaliknya jadikan ia sebagai pusingan modal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 11:37 PM