KEBAKARAN kereta Toyota Vios di Kilometer 24 Lebuhraya PLUS arah selatan dekat Pagoh dan dua individu sempat menyelamatkan diri dirakam kamera kereta seorang pengguna jalan raya, petang semalam. FOTO FB Eddy Wang KerTa.
Mohd Sabran Md Sani


SATU video tular di media sosial membabitkan rakaman kemalangan kereta Toyota Vios di Kilometer 124 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Pagoh, Muar, petang semalam.

Detik ngeri itu memperlihatkan keadaan kereta terbabit yang hilang kawalan dan hampir meragut nyawa dua individu umpama aksi filem ngeri.

Ia bermula apabila kenderaan berwarna putih itu dilihat terbalik beberapa kali dan terbakar di atas jalan berkenaan.

Tidak lama kemudian kelihatan dua individu keluar dari bahagian hadapan untuk menyelamatkan diri meskipun kereta dinaiki mereka sedang terbakar.

Video berdurasi 39 saat dikongsikan pemilik akaun Facebook (FB) Eddy Wang KerTa sejurus kamera dipasang di hadapan kenderaan berjaya merakamkan aksi kemalangan terbabit.

Sementara itu, lima anggota bomba termasuk pegawai bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada 4.37 petang.

Jurucakap bomba berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kebakaran membabitkan kereta Toyota Vios.

“Kebakaran itu mengakibatkan kenderaan berkenaan musnah 95 peratus, selain seorang wanita cedera,” katanya.

Sementara itu, maklumat kemalangan itu turut dikongsi pengguna FB, selain memberikan informasi kesesakan laluan sepanjang 11 kilometer ke arah selatan dan dua kilometer di arah utara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Februari 2019 @ 12:18 AM