Mohd Rafi Mamat


RAUB: Pengeluaran manggis di luar musim kali ini memberi peluang terbaik kepada seorang pemborong buah-buahan itu memasarkannya ke negara jiran Thailand secara besar-besaran.

Usaha julung kali diadakan itu mendatangkan hasil kepada Ahmad Mustafa, 39, apabila lebih 100 tan dieksport secara terus kepada pembekal di negara gajah putih itu sejak tiga bulan lalu.

Ahmad berkata, permintaan menggalakkan selain tawaran harga tinggi mendorongnya terbabit dengan aktiviti pasaran manggis ke Thailand sebagai percubaan pertamanya pada musim buah-buahan kali ini.

Setiap minggu, katanya, dia mampu menghantar lebih 20 tan manggis ke negara jiran menggunakan jalan darat selepas melalui beberapa proses.

“Saya mendapat bekalan manggis daripada pekebun kecil di daerah ini, Lipis dan Bentong dan sebuah rumah milik penduduk Kampung Sega Lama di sini, dijadikan pusat pengumpulan.

“Saya menggunakan seramai 36 pekerja terdiri daripada golongan muda untuk melakukan kerja memetik buah, penggredan, membungkus serta mengisi dalam bakul sebelum menaiki lori.

“Hanya buah manggis yang 50 hingga 70 peratus masak saja dipetik, ia bagi menjaga kualiti buah apabila sampai kepada pemborong atau penerima di Thailand, ” katanya yang berpengalaman lebih lima tahun sebagai pemborong buah-buahan di Kampung Damak, Jerantut.


AHMAD melihat buah manggis yang bakal dihantar ke Thailand.

Menurutnya, buah yang mencapai 90 peratus masak hanya untuk pasaran tempatan saja, manggis masak hanya mampu tahan tiga hingga lima hari.

Ahmad yang mendapat sokongan rakan kongsinya, Mahmud Che Mamat, 53, berkata, kualiti manggis di Pahang Barat terutama di Raub dan Bentong mendorong dia untuk mencuba menembusi pasaran antarabangsa walaupun Thailand adalah negara pertanian yang lebih maju daripada Malaysia.

Katanya, dia menjual manggis dengan harga borong antara RM3 hingga RM5 sekilogram (kg), seorang pemborong negara jiran, Jefri Abdullah menerima semua buah yang dibekalkan.

“Saya menjangkakan pengeluaran manggis luar musim yang jarang berlaku di negeri ini akan berakhir hingga bulan hadapan, manakala musim durian dijangka tiba pada Mei,” katanya.

Sementara itu, Mahmud berkata, permintaan terhadap manggis begitu menggalakkan walaupun di luar musim dan berlaku penurunan permintaan buah pada Tahun Baru Cina kali ini tetapi ia akan kembali pulih tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Februari 2019 @ 9:11 AM