FOTO Hiasan
Siti A’isyah Sukaimi


KEMENTERIAN Kesihatan merekodkan 23 kes chikungunya di Selangor bagi tempoh bermula 29 Januari hingga 7 Februari lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, gejala yang dialami bagi kes berkenaan ialah demam, sakit sendi dan ruam manakala, semua kes dirawat sebagai pesakit luar serta tiada kematian dilaporkan.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan iaitu sehingga 7 Februari lalu, se1,740 rumah dibuat semburan kabus (fogging) terutama di kawasan kejadian kes.

“Kawasan ini mempunyai kadar pembiakan aedes yang tinggi iaitu 3.8 peratus, oleh itu gotong-royong bersepadu dilaksanakan pada 7 Februari lalu.

“Aktiviti promosi kesihatan mengenai Chikungunya juga dilaksanakan dengan mengedarkan 939 risalah kepada penduduk setempat,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata,

secara keseluruhannya bermula Januari hingga 7 Februari, sebanyak 39 kes chikungunya dilaporkan di seluruh negara.

Katanya, negeri yang melaporkan kes adalah Selangor iaitu sebanyak 23 kes, Melaka sembilan kes, Kelantan enam kes dan satu kes dari Perlis.

“Gejala penyakit chikungunya adalah demam, ruam, sakit badan dan sakit sendi yang teruk.

“Bagi individu yang mempunyai gejala ini, diminta mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan berhampiran,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan menyeru semua masyarakat dan jawatankuasa penduduk untuk meningkatkan aktiviti pembersihan persekitaran bagi memusnahkan tempat pembiakan aedes di tempat masing-masing.

“Masyarakat juga diminta sentiasa melindungi diri daripada gigitan nyamuk dengan memakai pakaian berlengan panjang dan berseluar panjang serta menggunakan repelen.

“Di samping itu, masyarakat juga disarankan menggunakan semburan Aerosol pembunuh nyamuk dewasa atau bahan pembunuh nyamuk yang lain seperti lingkaran nyamuk untuk membunuh nyamuk dewasa.

“Pembabitan masyarakat dalam memastikan persekitaran bersih dan bebas dari pembiakan aedes akan dapat mencegah penularan penyakit chikungunya, denggi dan zika,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Februari 2019 @ 5:16 PM