Tiga rakan mangsa yang selamat (dari kiri) Muhammad Mubashar, 24, Muhammad Kasim, 30 dan Rozikhan Bangay, 27, menceritakan kejadian lemas ke atas Muhammad Bilal kepada anggota bomba. Foto Rosli Ilham.


“TIMBUL LAH Bilal,” rayu Muhammad Kasim, 30, yang tidak putus berdoa selepas sepupunya, Muhammad Bilal Muhammad Akram, 24, yang dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Petak Paka, Dungun pada Rabu lalu masih belum ditemui.

Muhammad Kasim berkata, dia bersama Muhammad Mubashar, 24 dan Rozikhan Bangay, 27, sangat terkilan kerana gagal menyelamatkan mangsa.

“Jeritan dia meminta tolong masih teringang di telinga kami. Siapa yang tidak sedih apabila terkenangkan tragedi mencemaskan itu.

“Masih terbayangkan saat ketika kami bertiga sudah pun memegang tangannya namun pukulan ombak besar menyebabkan kami semua terpisah dan detik itu memang tidak akan kami lupakan,” katanya.

Katanya, mereka tidak akan mandi sambil bermain bola di pantai berkenaan jika tahu kejadian buruk itu akan berlaku.

“Mungkin ini sudah suratan Allah SWT yang menjanjikan Muhamad Bilal akan mendapat kemalangan di sini namun, saya merayu dan berdoa supaya Allah SWT segera menemukan dia,” katanya.


ANGGOTA Balai Polis Paka berbincang sebelum meneruskan operasi pencarian Muhammad Bilal di Pantai Petak Paka, Dungun, hari ini. FOTO Rosli Ilham.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Terengganu (PENENTU), Mat Yasim Mohamed berkata, semua nelayan di negeri ini diminta membantu pihak berkuasa mencari mangsa terbabit.

“Kita menjangkakan mangsa mungkin sudah hanyut lebih jauh ke tengah laut memandangkan usaha pencarian yang dilancarkan pihak berkuasa sudah meliputi kawasan sekitar 20 kilometer ke tengah laut namun masih gagal membuahkan hasil.

“Jadi, kita minta semua nelayan pantai atau nelayan bot laut dalam supaya membantu dan sekiranya menemui mangsa di laut, perlu segera menghubungi pihak berkuasa,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superintendan Mohamad Zohan Seman berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih dilakukan membabitkan pencarian di pesisir pantai.

Katanya, operasi hari ini membabitkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Sehingga jam 6 petang tadi, mangsa masih belum ditemui,” katanya.

Dalam kejadian jam 2.30 petang Rabu lalu, mangsa dikatakan lemas ketika cuba mengambil bola di tengah laut sebelum cuba diselamatkan tiga rakan termasuk sepupunya.

Ketika itu,semua mereka dipukul ombak besar dan terpisah sebelum mangsa dilaporkan tenggelam ke dasar laut sementara tiga yang lain yang turut lemas berjaya menyelamatkan diri.

Berita berkaitan

'Bilik gerakan SAR warga Pakistan ditutup'

'Abang Pakistan 'turun' cari rakan lemas'

'[UPDATE] Takut nak beritahu sepupu lemas'

'[UPDATE] 'Dah capai tangan tapi terlepas...''

'Abang Pakistan lesap ‘disapu' ombak'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Februari 2019 @ 6:48 PM