ANGGOTA bomba menggunakan VRS 2000 untuk mengapungkan kenderaan . FOTO Ghazali Kori
Zaid Salim
am@hmetro.com.my


JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu menggunakan sejenis alat khas iaitu VRS 2000 bagi menaikkan Mitsubishi Storm yang menggelungsur sebelum tenggelam di dasar Sungai Terengganu dekat Pulau Warisan, Kuala Terengganu hari ini.

Pengarah JBPM Terengganu, Azlimin Mat Noor berkata, penggunaan alat itu adalah yang pertama kali digunakan di negeri ini bagi menaikkan kenderaan dari dasar sungai.

“VRS 2000 adalah alat seakan pelampung yang boleh menanggung bebanan seberat dua tan bagi setiap satu unit.

“Ia dipasang pada bahagian bawah kenderaan depan dan belakang sebelum proses memasukkan udara dilakukan anggota yang berada di dasar sungai bagi mengapungkan kenderaan itu hingga ke permukaan air.

“Sebaik kenderaan itu berada di permukaan air, ia ditunda ke jeti atau lokasi yang sesuai dan selamat untuk dinaikkan ke darat,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Instruktor Latihan Pusat Gerakan Operasi JBPM Terengganu, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Mohd Roslan Zakaria berkata, usaha menaikkan kenderaan seberat 1.5 tan itu sehingga ia timbul di permukaan air mengambil masa kira-kira sembilan minit.

“Ketika pemasangan VRS 2000 pada badan pacuan empat roda itu, kita menggunakan alat perhubungan di bawah air untuk berhubung dengan anggota di bahagian atas yang berada di dalam bot bagi menunda bot kenderaan berkenaan ke jeti berhampiran lokasi kejadian.

“Mitsubishi Storm yang tenggelam kira-kira 9.4 meter itu berjaya diampungkan ke permukaan sungai sebelum dibawa ke Jeti Polis Marin, kira-kira 50 meter dari lokasi jam 10.05 minit pagi tadi,” katanya.

Berita berkaitan

'`Rasa nak habis nafas dah...''

'`YANG aku takut jika ajal yang tibe dulu...... ''

''Saya reda dan bangga' - Bapa Abdul Bari'

'Dia tenggelam timbul pegang budak'

PPDA cari Abdul Bari pagi ini

Nekad terjun sungai selamatkan mangsa [METROTV]

'Hilang ketika selamatkan pikap terjunam ke sungai'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Februari 2019 @ 7:05 PM