Aizat Sharif


CUBAAN 12 nelayan termasuk lapan warga Thailand menangkap ikan di kawasan tidak dibenarkan gagal selepas ditahan polis dan empat bot pukat tunda kelas B1 dan C dirampas bersama tangkapan ikan bernilai RM1.35 juta di perairan Kuala Sala dan Kuala Kedah, hari ini.

Timbalan Komander Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, Superintendan Dimin Awang berkata, kejadian berlaku pada 3 pagi apabila sepasukan anggota PPM dari Wilayah Utara, Batu Uban, Pulau Pinang membabitkan seorang pegawai dan 11 anggota sedang melakukan rondaan dengan dua bot di kawasan perairan laut Kuala Sala.

“Ketika rondaan dilakukan, kami mengesan lima bot pukat tunda kelas B1 dan C sedang giat menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan perairan berkenaan.

“Namun apabila diteliti, bot berkenaan didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8 Akta Perikanan 1985 apabila menangkap ikan di luar kawasan ditetapkan seperti disyaratkan dalam lesen menangkap ikan,” katanya kepada pemberita di Jeti Perikanan Kuala Kedah, Alor Setar, hari ini.

Beliau berkata, nelayan ditahan berusia 30-an hingga 50-an.

Menurutnya, ketika operasi sedang diperhebat, dua bot pukat tunda mengambil kesempatan melarikan diri dengan memotong pukat tunda milik mereka menyebabkan pihaknya terpaksa mengejar.

“Namun kedua-dua bot berkenaan berjaya menghilangkan diri dalam kegelapan sebelum salah satu daripadanya dikesan pada 12.30 tengah hari di kawasan jeti nelayan Kuala Kedah dan salah satu nombor pendaftarannya sudah dipadamkan dengan cat hitam,.

“Kami turut merampas 1,000 kilogram ikan dari bot berkenaan dianggarkan bernilai RM7,000.

“Nilai keseluruhan rampasan bot pukat tunda dan ikan ditangkap adalah RM1.35 juta dan barang rampasan dibawa ke Pengkalan Marin Kuala Kedah untuk siasatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Februari 2019 @ 10:13 PM
DIMIN (tengah) bersama pegawainya menunjukkan ikan dirampas daripada bot pukat tunda yang ditahan kerana menangkap ikan di luar kawasan dibenarkan di perairan Kuala Sala dan Kuala Kedah. FOTO Amran Hamid.