AHLI Keluarga tahanan warga Malaysia di Kemboja ketika ditemui media, di Petra Jaya. -FOTO Nadim Bokhari.
Muhd Amirul Faiz Ahmad


AHLI keluarga kepada 47 mangsa tahanan rakyat Malaysia mula resah dan bimbang terutama membabitkan jaminan keselamatan anak mereka di Penjara Banteay Meanchey, Kemboja.

Penasihat Khas (Hal Ehwal Sarawak) di Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Hafsah Harun berkata, kebimbangan keluarga mangsa adalah berasas selepas mengambil kira faktor umur tahanan yang majoritinya adalah anak muda.

“Sudah masuk hari ke-60 kesemua mereka ditahan di Kemboja. Saya menyeru kepada semua kepemimpinan kerajaan negeri dan Pusat untuk turun melawat ahli keluarga tahanan. Sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan kerisauan dan kebimbanhan mereka.

“Saya sedang mengatur pertemuan di antara Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dengan ahli keluarga mangsa. Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk tidak menularkan spekulasi yang tidak benar di media sosial mengenai isu mangsa tahanan kerana dikhuatiri mengganggu proses rundingan antara pihak kerajaan dan kerajaan Kemboja,” katanya dalam kenyataan di Kuching, hari ini.

Daripada 47 mangsa yang ditahan, sejak 11 Disember lalu, 44 tahanan membabitkan rakyat Sarawak.

Mereka disyaki menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia yang memperdaya mangsa dengan gaji lumayan jika bersetuju bekerja di Kemboja.

Ada di antara mereka perlu membayar wang pendahuluan antara AS$100 (RM407) hingga AS$200 (RM814) seorang.

Mereka ditahan oleh pihak berkuasa tempatan kerana dakwaan terbabit kegiatan perjudian atas talian, namun tidak dibawa ke mahkamah untuk proses dakwaan.

Mengikut undang-undang negara berkenaan, mereka boleh dikenakan tahanan tanpa bicara selama tiga tahun.

Sementara itu, Hafsah ketika mengulas lanjut berkata, beliau menghargai komitmen Kementerian Luar susulan tindakan segera pihak Kementerian berikutan sidang media khas diketuai Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien, 7 Februari lalu.

“Saya mengucapkan penghargaan kepada usaha pihak kementerian itu untuk membawa pulang kesemua tahanan kembali ke tanah air,” katanya.

Berita berkaitan:

Seorang masuk hospital

Serah kepada Kemboja jalankan siasatan

Nota diplomatik sudah diserahkan

'Tolong kamek mummy'

Mana kerja dijanjikan?

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Februari 2019 @ 10:50 AM