Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


BEKAS Ahli Lembaga Pengarah, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, atas dua pertuduhan rasuah berjumlah RM230,000.

Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan itu selepas ia dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh sebagai penjawat awam yang bertugas di FELDA didakwa menerima deposit tunai RM50,000 melalui bank Maybank miliknya daripada syarikat pencetakan, Karya Hidayah Sdn Bhd.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di Maybank Cawangan Kluang, Jalan Dato’ Haji Hassan, Kluang, pada 6 September 2013.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menerima sebidang tanah berkeluasan 0.1421 hektar bernilai RM180,000 di Lot 5876, Mukim Kota Tinggi daripada syarikat pencetakan terbabit.


TERTUDUH dibawa ke mahkamah. FOTO Mohd Azren Jamaludin

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Kota Tinggi didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Tanah Daerah Kota Tinggi, Bangunan Sultan Iskandar, Jalan Lombong, Kota Tinggi, pada 23 Mac 2014.

Pendakwaan bagi kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Khazrin Haffiz Khalil menawarkan ikat jamin RM40,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu.

Peguam Datuk Thrichelvam dan Vincent Lawrence yang mewakili tertuduh tidak membantah jumlah ikat jamin yang dicadangkan pendakwaan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan sebutan semula kes pada 27 Mac ini untuk pengurusan kes.

Semalam, Harian Metro melaporkan seorang bekas Ahli Parlimen di Johor ditahan SPRM di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada 12.40 tengah hari, semalam.

Beliau ditahan selepas disyaki menggunakan jawatannya ketika menjadi Ahli Lembaga Pengarah FELDA dengan mengambil tindakan mengesyor dan meluluskan pelantikan sebuah syarikat pencetakan yang mana beliau dipercayai mempunyai kepentingan bagi kerja penerbitan Akhbar 1Suara di FELDA daripada 2012 hingga 2015 dianggarkan bernilai lebih RM13 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Februari 2019 @ 11:03 AM